"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

JAIPk diarah perjelas kontroversi ‘Islam-Hindu banyak persamaan’

FMT Reporters
Terdahulu, tular klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil yang menimbulkan perdebatan warganet.
PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) diarah memberi penjelasan bagi membetulkan kekeliruan dan salah tanggapan susulan penyebaran klip video mengenai kursus melibatkan lawatan ke sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini.

Dalam kenyataan, Pejabat Menteri Besar Perak berkata pihaknya mengambil berat polemik yang timbul berhubung isu terbabit.

“Polemik tersebut menimbulkan pelbagai kekeliruan, salah faham dan persepsi negatif, terutamanya dalam kalangan umat Islam sehingga menjejaskan reputasi dan nama baik kerajaan negeri serta pihak berkuasa agama Islam termasuk JAIPk.

Dengan ini ditegaskan, kerajaan negeri sentiasa berpegang kepada prinsip ‘maqasid syariah’ dalam melindungi kesucian dan kedudukan Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, katanya.

Pejabat Menteri Besar Perak berkata, pihaknya telah memanggil satu mesyuarat khas pagi ini yang dihadiri pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, JAIPk dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi membincangkan isu itu.

Katanya, hasil mesyuarat itu dan atas titah nasihat Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, JAIPk diarahkan mengkaji semula modul kursus berkenaan.

Ini bagi mengelakkan fitnah dan salah faham sehingga menjejaskan nama baik dan kredibilitinya sebagai jabatan yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal dan kepentingan umat Islam, katanya.

Selain itu, JAIPk turut diminta mendapatkan pandangan Jabatan Mufti Perak sebelum menganjurkan program seumpama itu pada masa akan datang, serta berunding agar modul, kaedah atau pendekatan lebih sesuai dapat digunakan.

Terdahulu, tular klip video menunjukkan peserta program anjuran JAIPk mengadakan lawatan ke sebuah kuil.

Dalam video itu, seorang peserta berkongsi pendapatnya bahawa terdapat banyak persamaan antara agama Islam dan Hindu, yang menimbulkan perdebatan dalam kalangan warganet.

Sementara itu, Umno Perak turut mendesak modul program tersebut dikaji semula bagi mengelakkan fitnah dan salah tanggapan berterusan.

Sekiranya tidak ditangani dengan berhemah, isu berkenaan bukan sahaja akan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat, malah boleh mencalar nama baik kerajaan negeri yang sentiasa berpegang kepada prinsip ‘maqasid syariah’ dalam menjaga kesucian agama Islam, katanya.

Tiada ulasan: