"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan isteri, teman lelaki bantu siasatan kes ugut suami

Togi Marzuki
bhnews@bh.com.my

PONTIAN: Polis menahan seorang wanita dan tiga anaknya dalam serbuan di sebuah hotel di Kluang malam tadi selepas suaminya membuat laporan tiga hari lalu susulan menerima ugutan daripada individu tidak dikenali meminta wang RM2,000 jika mahu isteri dan anaknya itu selamat.

Susulan penahanan itu, polis turut menangkap seorang peniaga dipercayai teman lelaki wanita itu berusia lingkungan 40-an di sebuah rumah di Kluang.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Mohammad Shofee Tayib, berkata wanita dan teman lelakinya itu kemudian dikenakan perintah reman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan laporan diterima Khamis lalu, wanita berusia lingkungan 30-an itu bersama tiga anaknya berusia antara tiga hingga 12 tahun dihantar suaminya ke perhentian bas di Kampung Sepakat Jaya, Pekan Nanas untuk pulang ke kampung di Kota Tinggi.

Bagaimanapun, beliau berkata, lelaki itu gagal menghubungi isterinya selepas itu, malah ibu mentua yang dihubungi pula memberitahu isteri dan tiga anaknya tidak ada di Kota Tinggi.

"Keesokan harinya, lelaki itu yang berada di rumah menerima mesej di aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali meminta wang RM2,000 jika mahu isteri dan anaknya pulang dengan selamat.

"Akibat bimbang dengan keselamatan isteri dan anaknya, lelaki itu membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum itu, tular di media sosial, hebahan lelaki itu meminta bantuan orang ramai mengesan isteri dan tiga anaknya yang tidak sampai ke kampung halaman di Kota Tinggi.

Mohammad Shofee berkata, polis melakukan dua serbuan itu malam tadi selepas mendapat maklumat berhubung kes terbabit.

"Ujian saringan air kencing terhadap wanita dan teman lelakinya itu negatif dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 358 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: