"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Keluar PAS haram, apa pula hukum luluskan orang keluar PAS

Malaysiakini 

Strategi Perikatan Nasional (PN) untuk meluluskan seorang ahli PAS keluar parti dan menyertai Bersatu supaya menjadi calonnya untuk Nenggiri dipersoalkan oleh seorang pemimpin Amanah.

Ahli jawatankuasa pusat Amanah, Ridzwan Abu Bakar menegaskan bahawa PAS sebelum ini menghukum tindakan keluar parti sebagai haram.

“Hukum keluar PAS haram, apa pula hukum tandatangan meluluskan orang keluar PAS,” soalnya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.
Ridzwan turut melampirkan surat yang didakwa daripada Mohd Rizwadi Ismail bertarikh 28 Julai lalu memohon supaya keluar daripada PAS.

Surat itu juga memuatkan kelulusan keluar parti yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Malaysiakini keputusan supaya Rizwadi menyertai Bersatu adalah satu taktik strategik.

Ridzwan berkata keputusan PAS itu adalah satu penyimpangan besar berbanding cacian yang dilemparkan kepada ahli Amanah apabila mereka berpecah pada 2015.

“Lalu dibaca hadith ‘sesiapa yang keluar dari jamaah Islam walaupun sejengkal, maka tertanggallah Islam dari tenggoknya’, lalu dihukum dengan pelbagai hukum,” katanya.

Malah, kata Ridzwan, PAS turut membacakan hadis “apabila dibaiah khalifah yang kedua, maka perangilah yang berbaiah itu”.

Namun katanya, semalam, PN mengisytiharkan calonnya di Neggiri yang adalah ahli PAS yang meninggalkan Jamaah Islam itu dan diterima oleh Bersatu, bahkan calon itu bersumpah laknat ke atas diri sekiranya dia meninggalkan pula Bersatu.

“Namun, itulah PAS. Kategorinya adalah lain-lain tak tertakluk kepada hukum dan undang-undang,” kata Ridzwan lagi.

Kerusi Nenggiri diisytiharkan kosong berikutan keahlian Bersatu penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim terbatal.

Pemimpin PAS di Kelantan telah melobi untuk mendapatkan semula kerusi itu daripada Bersatu, tetapi kepimpinan PN memutuskan untuk mengekalkan status quo.

Bagaimanapun, akhirnya diputuskan untuk Rizwadi keluar dari PAS dan menyertai Bersatu untuk menjadi calon Nenggiri.

Tuan Ibrahim berkata, kepimpinan PN merasakan Rizwadi akan diterima oleh kedua-dua penyokong PAS dan Bersatu.

Selain itu, dia menegaskan PAS mempunyai pengaruh yang lebih besar di kawasan parlimen Gua Musang, yang merangkumi Nenggiri, berbanding sekutunya, Bersatu.

Walaupun menjadi ahli Bersatu, Rizwadi akan bertanding di bawah logo PAS - yang menjadi strategi PN untuk Kelantan dan Terengganu sejak pilihan raya umum ke-15.

PRK Nenggiri ditetapkan pada 17 Ogos ini.

Tiada ulasan: