"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu treler 'lalok' rempuh rumah, dua beradik maut

Asrol Awang
am@hmetro.com.my
Rumah mangsa rosak teruk akibat dirempuh treler. FOTO Ihsan Polis
Rumah mangsa rosak teruk akibat dirempuh treler. FOTO Ihsan Polis
Kuantan: Seorang pemandu treler dipercayai di bawah pengaruh dadah merempuh sebuah rumah menyebabkan dua beradik maut di Kilometer 5 Jalan Pekan-Rompin dekat Kampung Ketapang Hilir, Pekan hari ini.

Mereka yang meninggal dunia ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33, maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25 meninggal dunia pada jam 1.30 tengah hari ini.

Tiga lagi mangsa iaitu ibu bapa mangsa, masing-masing berusia 64 dan 54 tahun serta seorang rakan, Mohd Waldon Faris berusia 19 tahun mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Zaidi Mat Zin, berkata berdasarkan laporan, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4.15 pagi.

Katanya, siasatan awal mendapati treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun berseorangan dari arah Johor Bahru menghala ke Kuantan membawa muatan siling kapur.

"Apabila tiba di tempat kejadian, kenderaan yang dipandu lelaki itu ketika melalui selekoh ke kiri hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan kemudian merempuh sebuah rumah yang berada di sebelah kanan jalan.

"Akibat kemalangan itu, Nurnazatul Fasiha disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat orang yang berada di dalam rumah mengalami kecederaan dan dibawa ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, pada jam 1.30 tengah hari ini, Mohd Waldon Faris disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pekan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat dan diklasifikasikan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, ujian saringan awal yang dijalankan di Hospital Pekan mendapati pemandu treler didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

"Pemandu treler akan ditahan untuk tujuan reman esok sebaik sahaja rawatan selesai," katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan seorang wanita ditemukan maut dibawa runtuhan rumah selepas dirempuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, hari ini.

Tiada ulasan: