"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tahanan politik berprofil tinggi dilaporkan hilang dari penjara

AFP

MOSCOW: Sekurang-kurangnya lima tahanan politik Russia dipindahkan dari penjara dengan kawalan keselamatan tinggi dalam tempoh beberapa hari lalu.

Langkah itu dilihat sebagai penyelarasan yang menimbulkan spekulasi kemungkinan berlaku pertukaran banduan.

Russia menjatuhkan hukuman penjara dalam tempoh yang panjang membabitkan puluhan individu kerana menentang Kremlin dan serangan tentera Moscow terhadap Ukraine.

Pemindahan penjara diketahui sebagai satu yang misteri di Russia dengan keluarga dan peguam tidak memberikan perician lanjut mengenainya manakala banduan pula sering terputus hubungan dengan dunia luar selama berminggu-minggu.

Bagaimanapun, ia biasanya berlaku selepas sabitan atau gagal dalam rayuan, selain kehilangan beberapa banduan politik berprofil tinggi yang amat jarang berlaku.

"Nampaknya, kami berada di puncak pertukaran dalam skala yang sangat besar," kata penganalisis politik Russia, Tatiana Stanovaya menerusi Telegram hari ini.

Peguam bagi ahli politik pembangkang yang dipenjarakan, Ilya Yashin, hari ini berkata, dia dipindahkan dari tanah jajahan penjaranya di wilayah barat Smolensk, di mana dia sedang menjalani hukuman lapan tahun setengah penjara kerana melanggar undang-undang penapisan tentera Russia.

"Ilya Yashin dihantar dari tanah jajahan ke destinasi yang tidak diketahui," kata saluran Telegramnya yang kini dikendalikan peguam dan penyokongnya.

Sementara itu, dua pembantu mendiang Ketua Pembangkang, Alexei Navalny iaitu Lilia Chanysheva dan Ksenia Fadeyeva juga hilang dari penjara, mereka mungkin sudah dipindahkan beberapa hari lalu.

Kedua-duanya mengendalikan ibu pejabat serantau pimpinan Navalny dan dijatuhi hukuman atas tuduhan ekstremisme.
-bharianonline

Tiada ulasan: