"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Angkara bergaduh rebut parkir, 2 wanita ditahan polis

Nur Izzati Mohamad
am@hmetro.com.my
Tangkap layar video tular memaparkan insiden dua wanita bergaduh kerana berebut petak meletak kenderaan di sebuah pasar raya di Kepala Batas. FOTO TULAR
Tangkap layar video tular memaparkan insiden dua wanita bergaduh kerana berebut petak meletak kenderaan di sebuah pasar raya di Kepala Batas. FOTO TULAR
Kepala Batas: Dua wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung video tular pergaduhan dipercayai kerana berebut petak meletak kenderaan di sebuah pasar raya, di sini.

Penahanan kedua wanita berusia 25 dan 38 tahun itu dibuat semalam, sejurus dua wanita berkenaan membuat laporan polis pada Isnin dan Selasa lalu berhubung insiden terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di sini.

"Punca kejadian adalah disebabkan perasaan tidak berpuas hati dengan perebutan tempat parkir," katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi laman sosial Facebook (FB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan kurang sopan di tempat awam.

"Dalam pada itu, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian mewujudkan apa-apa komen dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiaya atau mengugut atau mengganggu orang lain.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berhubung insiden itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Nursyahirah Sarahani di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau tampil ke balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Kelmarin, tular satu rakaman video berdurasi 25 saat memaparkan dua wanita bergaduh serta mengeluarkan perkataan kesat dipercayai berpunca daripada berebut parkir di sebuah pasar raya.

Tiada ulasan: