"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga asing cuba seludup minyak masak bersubsidi ke Kemboja

Aizat Sharif
bhnews@bh.com.my
Ismail (tengah) bersama pegawai Kastam Perlis yang lain menunjukkan pek minyak masak bersubsidi dirampas daripada sepasang warga asing yang cuba menyeludup keluar dari negara ini di Kompeks ICQs Padang Besar. - Foto NSTP/Aizat Sharif
Ismail (tengah) bersama pegawai Kastam Perlis yang lain menunjukkan pek minyak masak bersubsidi dirampas daripada sepasang warga asing yang cuba menyeludup keluar dari negara ini di Kompeks ICQs Padang Besar. - Foto NSTP/Aizat Sharif
KANGAR: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis mematahkan cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi hingga ke Kemboja berjumlah 116 kilogram (kg) selepas menahan dua individu warga asing di Padang Besar pada 24 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 12.50 tengah hari itu, sepasukan anggota kastam dari Cawangan Penguatkuasaan Padang Besar yang sedang bertugas di Laluan Eksport, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang (UKPP), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQs) Padang Besar menahan kereta Toyota Corolla Altis berpendaftaran Thailand yang cuba melepasi laluan itu.

Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim, berkata kereta berkenaan dipandu lelaki warga Thailand berusia 52 tahun yang turut membawa penumpang wanita warga Kemboja berusia 56 tahun. Mereka ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

"Pemeriksaan terhadap kereta berkenaan mendapati terdapat 116 pek bungkusan minyak masak bersubsidi satu kilogram pelbagai jenama disorokkan di dalam beg pakaian dan bekas tong cat yang diletakkan di tempat duduk penumpang belakang dan bonet kereta itu.

"Kita percaya pasangan warga asing ini mengambil stok minyak masak bersubsidi ini dengan mengumpulnya menerusi pembelian di pelbagai kedai atau pasar raya di Perlis.

"Modus operandi, mereka akan masuk ke negara ini dan berada di Perlis untuk beberapa tempoh tertentu.

Pada masa sama, mereka akan pergi ke kedai runcit atau pasar raya membeli minyak masak subsidi ini serta mengumpul stok dalam kuantiti tertentu," katanya kepada pemberita di Pejabat JKDM Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya percaya selain Thailand, minyak masak bersubsidi ini juga akan dibawa sehingga ke Kemboja untuk tujuan dagangan di restoran atau premis makanan di negara itu dan dijual dengan harga sekitar RM5 hingga RM6 satu pek.

"Kesemua minyak masak bersubsidi dirampas itu dianggarkan berjumlah RM290 manakala kereta digunakan dianggarkan bernilai RM23,000 yang menjadikan jumlah keseluruhan rampasan adalah bernilai RM23,290," katanya.

Ismail berkata, walaupun nilai rampasan minyak masak bersubsidi itu agak kecil, impak dan implikasi terhadap ekonomi negara akan menjadi buruk sekiranya penyeludupan komoditi bersubsidi ini tidak dikawal.

Tiada ulasan: