"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jurulatih badminton mabuk langgar mati penunggang motosikal didakwa

NUZULSHAM SHAMSUDDIN

KUALA LUMPUR – Seorang jurulatih badminton sambilan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal.

Bagaimanapun tertuduh, Kum Yi Fan, 24, tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Mengikut pertuduhan, Yi Fan didakwa sebagai pemandu sebuah kereta jenis BMW berwarna hitam telah memandu kenderaan tersebut di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan dan menyebabkan kematian penunggang motosikal, Zulkifli Md Ariff, 54,.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lebuhraya Puchong Link menghala ke Bulatan Kuda di Kuala Lumpur pukul 2.52 pagi pada 28 Julai 2024.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara antara 10 tahun sehingga 15 tahun dan denda antara RM50,000 sehingga RM100,000, jika disabitkan bersalah.

Sementara itu di mahkamah yang sama, seorang penuntut ijazah sarjana, G. Sanjay Rai, 28, turut tidak mengaku bersalah atas pertuduhan memandu ketika mabuk sehingga menyebabkan kecederaan parah di bahagian kepala seorang lagi penunggang motosikal, Irfan Jefri Mohamad Jafri yang berusia 18 tahun.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Tun Razak dari arah Jalan Yap Kwan Seng menghala ke Bulatan Jalan Pahang di sini pukul 5.26 pagi pada tarikh yang sama.

Sanjay Rai didakwa mengikut Seksyen 44(1A) APJ 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara tujuh tahun sehingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 sehingga RM50,000, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pegawai Pendakwa Inspektor Syazwan Hasifi menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Calvin Lim Sin Guan yang mewakili Yi Fan dan peguam Sharonjit Kaur yang mewakili Sanjay Rai memohon jaminan yang minima memandangkan tertuduh memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis sepanjang siasatan.

Majistret Fatin Dayana kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin selain mengarahkan kedua-dua tertuduh menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai, sebagai syarat tambahan jaminan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 Oktober ini bagi sebutan semula kes untuk kes Yi Fan, manakala bagi kes Sanjay Rai ditetapkan pada 11 Oktober. – KOSMO

Tiada ulasan: