"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ali baba' lesen: Penguatkuasa Jangan tunggu aduan - Persatuan penjaja, peniaga

Peniaga 'ali baba' lesen: Jangan tunggu aduan - Persatuan penjaja, peniaga
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Penguatkuasaan perlu lebih tegas dengan membatalkan lesen dan menyenaraihitamkan serta-merta peniaga yang 'ali baba' lesen mereka kepada warga asing.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, penguatkuasaan yang dilihat masih lemah menyebabkan isu lesen ali baba tiada berkesudahan.

"Kalau guna lesen warga tempatan sedangkan pemilik lesen tiada di kedai, kita anggap dia ali babakan lesen.

"Kita minta supaya pihak penguat kuasa jangan tunggu aduan tetapi sentiasa peka dan periksa mana-mana premis yang memajakkan lesen mereka kepada warga asing.

"Ambil tindakan tegas kepada mana-mana peniaga yang menyalah gunakan lesen dengan menyita kedai mereka, membatalkan dan senaraikan hitamkan namanya dalam tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun," katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro mengenai penahanan lelaki warga India yang juga pemegang kad pemastautin tetap (MyPR) kelmarin, selepas disyaki mengusahakan 17 premis perniagaan secara ali baba di sebuah pusat komersial sekitar Jalan PPK1, Taman Kinrara, Puchong, Selangor.

Rosli turut memberi amaran kepada peniaga dan penjaja tempatan di negara ini supaya mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

"Semua masyarakat peniaga dan penjaja pastikan lesen ini tidak beralih tangan kepada warga asing.

"Kalau didapati perkara ini berlaku kita tidak teragak-agak minta penguat kuasa mengambil tindakan batal lesen, senarai hitamkan namanya supaya tidak boleh terbabit dalam sektor perniagaan supaya beri pengajaran," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak menyarankan, Jabatan Imigresen (JIM) mengadakan operasi bersepadu dengan pihak Jabatan Pendaftaran Syarikat bagi menyenarai hitamkan syarikat serta lembaga pengarah yang terbabit dalam sindiket Ali Baba.

"Jabatan Pendaftaran Syarikat mesti mengenakan hukuman tegas dengan menyenarai hitamkan pengarah syarikat terbabit supaya mereka tidak boleh mendaftar syarikat baharu.

"MCCF juga berharap operasi sedemikian di adakan berterusan di setiap negeri. Jika tidak ia akan memberikan tanggapan negatif kepada komuniti masyarakat Malaysia.

"Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga perlu memantau semua pihak berkuasa tempatan (PBT) yang memberikan permit perniagaan kepada syarikat Ali Baba yang menjadi penjajahan ekonomi alaf baharu warga asing," katanya.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh dilaporkan berkata, warga asing lelaki itu ditahan bersama 14 warga tempatan dan 71 warga asing dalam serbuan membabitkan beberapa premis kedai runcit, kedai makan dan kedai alat telekomunikasi yang diusahakan warga asing.

Katanya, warga asing terbabit dipercayai berselindung di sebalik lesen perniagaan milik warganegara tempatan secara ali baba.

Tiada ulasan: