"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penjenayah lompat keluar melalui tingkap, lari dari tingkat 2 bangunan mahkamah selepas dengar hukuman

Juwan Riduan
bhnews@bh.com.my
SUSPEK berjaya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas IPD Keningau ketika bersembunyi dalam reban ayam di kawasan kuarters kerajaan berhampiran Hospital Lama Keningau. - FOTO Ihsan Polis
SUSPEK berjaya ditahan oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas IPD Keningau ketika bersembunyi dalam reban ayam di kawasan kuarters kerajaan berhampiran Hospital Lama Keningau. - FOTO Ihsan Polis
KENINGAU: Selepas dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Keningau, di sini bagi kesalahan menagih dadah, seorang lelaki nekad melarikan diri dengan melompat keluar melalui tingkap dari tingkat dua bangunan mahkamah berkenaan, semalam.

Hasil siasatan polis mendapati, ketika kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Majistret Flavian Edward Henry sedang membacakan hukuman ke atas lelaki berkenaan, Muhammad Safwan Shahir Jasuf Abdullah, 24, mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata sebaik hukuman penjara enam bulan dibacakan, lelaki terbabit tiba-tiba melompat keluar dari kandang tertuduh, menolak tingkap kaca dan melompat dari tingkat dua ke bahagian bumbung garaj.

"Dia lari ke bahagian bumbung garaj setinggi kira-kira dua meter dan selepas itu melompat ke bawah dari ketinggian empat meter serta meluru lari ke pagar mahkamah sebelum menghilangkan diri dan gagal dikesan selepas berjaya ke jalan utama berhampiran Bulatan Rusa di pekan Keningau.

"Ketika itu, dia tidak digari kerana dilepaskan secara berasingan bersama enam banduan lain untuk proses dibacakan hukuman," katanya ketika dihubungi, hari ini dan memaklumkan, ruang persidangan Mahkamah Majistret tidak mempunyai jeriji besi, hanya di Mahkamah Sesyen, aras bawah berjeriji penuh.

Katanya, empat kamera litar tertutup (CCTV) yang ada dalam ruang persidangan di tempat kejadian juga tidak berfungsi.

"Bagaimanapun hasil tindakan cekap dan pantas polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan Cawangan Khas IPD Keningau, lelaki itu berjaya ditangkap jam 9.30 malam berkenaan.

"Dia ditahan di kawasan kuarters kerajaan, berhampiran bangunan Hospital Lama Keningau semasa bersembunyi dalam reban ayam. Tertuduh dibawa balik ke IPD Keningau untuk tindakan lanjut dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: