"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Olimpik terasa kurang tanpa Rusia

Zin Mahmud

Azam Olimpik moden antara lain adalah untuk menghimpun ahli-ahli sukan dari semua negara di seluruh dunia empat tahun sekali. Semangatnya adalah untuk menampilkan pencapaian terbaik dalam acara masing-masing melalui penganugerahan pingat emas, perak dan gangsa.

Satu ciri penting bagi Olimpik moden yang selalu diutarakan tetapi tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya ialah pesta sejagat ini seharusnya bebas politik. Acara sukan antarabangsa sewajarnya adalah untuk menyemai perdamaian. Tuan rumah ada masanya menggunakan acara sukan untuk bukan saja mengukuhkan imej nasionalnya, malah menjadikan medan propaganda politik.

Maka begitu juga dengan Olimpik 2024. Rusia dan Belarus dilarang menyertainya. Ini kerana Rusia melancarkan perang ke atas Ukraine. Belarus pula kerana menyokong dan membantu Rusia. Hanya atlet yang bertanding sebagai individu berkecuali dari kedua negara itu dibenarkan. Dalam kategori yang dipanggil AIN (atlet, individu, neutral), hanya 32 orang menyertainya. Tentulah ia tidak dapat mencerminkan keupayaan sukan Rusia dan Belarus.

Tambahan pula, Rusia adalah negara besar, malah dari segi keluasan. Ia merupakan negara terbesar dunia. Maka tentunya ia merupakan kuasa sukan yang mampu bersaing dengan negara-negara besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan China. Rusia mampu menguasai acara-acara atletik seperti gimnastik dan renang termasuk berirama (synchronised swimming) yang popular di kalangan penonton.

Maka tanpa Rusia tentulah, acara-acara ini berasa kurang meriah. Pencapaian negara lain seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan negara-negara Eropah lain tidak sepenuhnya teruji kerana ketiadaan Rusia.

Dalam sukan olimpik sebelum ini, iaitu di Tokyo, Rusia juga dihalang menyertainya. Sukan Olimpik 2020 yang diadakan pada tahun 2021 itu berlangsung sebelum perang di Ukraine. Pada masa itu, Rusia dilarang kerana Agensi Antidoping Antarabangsa mendapati kerajaan Rusia melakukan doping untuk mempertingkatkan keupayaan atlet mereka.

Perkara ini berlaku pada Olimpik tahun 2016 yang berlangsung di Rio de Janeiro, Brazil. Penemuan agensi itu terjadi pada tahun 2017, maka mereka dilarang bertanding pada Olimpik berikutnya. Namun begitu, atlet-atlet mereka turut juga bertanding tetapi atas nama Jawatankuasa Olimpik Rusia (ROC). Tentunya jawatankuasa itu perlu memastikan tidak berlaku doping.

Saya mula mengikuti laporan sukan Olimpik pada tahun 1972 yang berlangsung di Munich Jerman Barat. Ketika itu saya berada dalam darjah enam dan bahan laporan hanya datang dalam bentuk berita radio, akhbar dan majalah mingguan iaitu Time dan Newsweek.

Olimpik tahun 1972 terkenal dengan peristiwa pembunuhan lima atlet dan enam jurulatih Israel di kampung Olimpik yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata Palestin bernama Black September. Israel telah menyertai Olimpik sejak tahun 1953. Palestin hanya dapat menyertai Olimpik pada tahun 1996. Bagaimanapun Jawatankuasa Olimpik Palestin ditubuhkan pada tahun 1933 ketika wilayah itu ditadbir British.

Dalam Olimpik tahun 1972, negara yang paling banyak meraih pingat emas ialah Soviet Union iaitu 50 berbanding Amerika Syarikat yang memperoleh 20. Pada masa itu Rusia, Ukraine dan Belarus yang dipanggil Byelorussia merupakan sebahagian daripada Soviet Union. Begitu juga dengan negara-negara Baltik iaitu Lithuania, Latvia dan Estonia.

Negara-negara lain yang ketika itu berada dalam Soviet Union ialah Moldova, Georgia, Armenia, Kazakhstan, Tajikistan. Azerbaijan, Turkmenistan, Uzbekistan dan Kyrgyzstan.

Bukan saja Soviet Union nenunjukkan kecemerlangan dalam Olimpik tetapi juga negara-negara blok Timur yang lain di Eropah Timur seperti Jerman Timur, Romania, Hungary. Bulgaria dan Czechoslovakia yang kini berpecah kepada Czechya dan Slovakia.

Dalam Olimpik tahun 1976 yang berlangsung di Montreal, Kanada, sekali lagi Soviet Union menduduki tempat pertama dan Jerman Timur di tempat kedua. Mereka mendominasi acara-acara yang memerlukan disiplin tinggi dan latihan jangka panjang seperti gimnastik dan renang.

Media Amerika iaitu Time dan Newsweek menyatakan bahawa kejayaan negara-negara blok Timur adalah kerana penglibatan besar kerajaan mereka dari segi sumber untuk melahirkan atlet-atlet cemerlang. Ia bermula dari pencarian bakat baharu sejak kecil dan disiplin latihan yang tinggi di luar kemanusiaan, sesuatu yang tidak dapat dilakukan oleh negara-negara blok Barat.

Juga dinyatakan bahawa Soviet Union melihat Olimpik sebagai medan ruang propaganda untuk memaparkan keunggulan sistem komunis berbanding kapitalis. Sebab itu, mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menguasai acara-acara sukan olimpik.

Sungguhpun pada tahun 1976, Perang Dingin berada di puncaknya tetapi ia sedang melalui fasa co-existence (menerima kewujudan negara masing-masing) dan detente (tidak menyerang di antara satu sama lain). Maka persaingan antara blok Timur dan blok Barat adalah tidak pada peperangan tetapi tertumpu pada bidang budaya, sains dan sukan. Dalam bidang sains, persaingan adalah dalam bentuk penerokaan bulan dan angkasa. Dalam bidang sukan, tentunya olimpik menjadi medan. Perang bersenjata nasih berlaku tetapi ia berbentuk proksi dan atas nama perjuangan kemerdekaan sesuatu wilayah

Namun begitu, tidak pernah berlaku Soviet Union atau negara-negara sekutunya dihalang bertanding Olimpik baik pada tahun 1972 mahupun 1976.

Tetapi apa yang berlaku ialah boikot. Pada olimpik tahun 1980, Moscow berjaya dipilih untuk menjadi tuan rumah. Ini adalah perkara yang besar bagi Soviet Union. Ia merupakan peluang besar bagi negara itu untuk menunjukkan kepada dunia tentang kehebatan sistem politik mereka. Logo Olimpik Moscow direka bentuk berupa puncak bangunan dengan di atasnya bintang berbucu lima iaitu lambang Soviet Union dan komunisme. Maskotnya ialah beruang Rusia.

Tetapi malang bagi Soviet Union. Pada tahun 1978, berlaku apa yang dinamakan sebagai Revolusi Saur di Afghanistan. Parti komunis di sana telah menggulingkan kerajaan Kabul dan menguasainya. Maka pelbagai kumpulan bersenjata tempatan muncul berjuang atas nama jihad untuk membebaskan Afghanistan. Amerika Syarikat yang mahu menghalang komunis berkuasa telah menghantar bantuan senjata kepada kumpulan-kumpulan itu melalui Pakistan.

Dalam keadaan terdesak itu, kerajaan komunis Kabul meminta bantuan Moscow. Maka pada tahun 1979; Soviet Union menghantar tenteranya ke Afghanistan.

Sudah tentu Anerika membantah. Maka Washington mengenakan tekanan terhadap Moscow. Antaranya ialah memboikot Sukan Olimpik 1980. Maka negara-negara blok Barat pun memboikot sukan itu. Begitu juga dengan negara-negara Islam termasuk Malaysia.

Maka tidak hairanlah blok Timur membalas balik pada Olimpik tahun 1984 yang diadakan di Los Angeles, Amerika Syarikat. Soviet Union dan sekutu-sekutunya memboikot sukan itu. Maka Olimpik tahun 1980 dan 1984 tidak mencerminkan kekuatan sebenar kesukanan manusia.

Pada Olimpik tahun 1988 yang diadakan di Seoul, Korea Selatan, kedua-dua blok Timur dan Barat bertanding. Soviet Union sekali lagi muncul sebagai negara yang mampu mengutip pingat emas paling banyak. Ketika itu Presiden Soviet Union, Mikhail Gorbachev sedang melakukan reformasi terhadap sistem komunis melalui dasar Glastnost (keterbukaan) dan Perestroika (penstrukturan semula). Beliau juga memanggil pulang tentera Soviet dari Afghanistan. Tetapi tidak ada siapa menjangkakan reformasi itu bukan saja gagal tetapi meruntuhkan negara itu pada tahun 1989.

Maka apabila Olimpik tahun 1992 diadakan di Barcelona, Sepanyol, Soviet Union sudah tidak ada. Perang Dingin sudah berakhir. Negara-begara Baltik yang merupakan bekas republik-republik Soviet iaitu Lithuania, Latvia dan Estonia menghantar pasukan mereka sendiri. Tetapi bekas republik Soviet termasuk Rusia dan Ukraine tetap menghantar pasukan bersama, tidak atas nama Soviet Union tetapi atas nama Unified Team atau Pasukan Disatukan. Pasukan ini muncul sebagai pihak yang paling banyak mengutip pingat emas, iaitu meneruskan legasi Soviet Union.

Tetapi dalam Olimpik tahun 1996 di Atlanta, Amerika Syarikat, semua republik-republik bekas Soviet Union bertanding sendiri. Maka Rusia tidak dapat mencapai apa yang diperoleh oleh Soviet Union sebelum itu. Amerika pula muncul sebagai negara teratas dalam kutipan pingat emas.

Sebanyak enam kali Olimpik iaitu pada tahun 2000 di Sydney, Australia, 2004 di Athens, Greece dan 2008 di Beijing, China, Rusia menjadi salah sebuah negara penting dalam kejohanan acara-acara sukan antarabangsa itu.

Masalah mula timbul pada Olimpik tahun 2012 di London, United Kingdom. Semasa Olimpik itu, Rusia meraih 24 pingat emas dengan kedudukan keempat dalam kejohanan itu. Tetapi kemudian setelah gagal dalam ujian antidoping, tujuh pingat emas ditarik balik.

Masalah yang sama berulang di Olimpik Rio de Janeiri, Brazil pada tahun 2016. Penemuan doping berlaku pada tahun 2017. Bermula dari situ Rusia dilarang menyertai Olimpik selama empat tahun. Maknanya ia tidak boleh menyertai Olimpik 2020 tetapi boleh masuk Olimpik 2024.

Malang bagi atlet-atlet Rusia pula, negara mereka melancarkan serangan ke atas Ukraine pada tahun 2022. Jawatankuasa Olimpik Rusia pula secara terang-terang menyokong pelanggaran negara mereka ke atas Ukraine. Maka Rusia terlepas peluang lagi untuk menyertai Olimpik.

Mungkin pada Olimpik tahun 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat dan 2032 di Brisbane, Australia, Rusia dapat kembali menyertai Olimpik kerana perang Ukraine dijangka berakhir

Tetapi jika ketegangan politik antara Rusia dengan Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah berterusan, maka bergenerasi atlet Rusia khususnya para ahli gimnastik akan terlepas peluang bersaing dalam Olimpik. Maka sukan dunia juga akan kerugian tanpa penyertaan Rusia.

ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.

Tiada ulasan: