"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes culik: Empat penjenayah disyaki dalang ditembak mati

Nor Azizah Mokhtar
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat penjenayah yang disyaki terbabit kes penculikan, maut dalam insiden berbalas tembakan dengan polis dalam dua kejadian berasingan di Skudai, Johor, lewat malam semalam dan awal pagi hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata berkata kumpulan itu dipercayai terbabit kes penculikan dua individu bulan lalu membabitkan pembayaran wang tebusan dalam bentuk Bitcoin sebanyak AS$1.16 juta atau RM5.4 juta.

Beliau berkata, kes penculikan itu berlaku kira-kira jam 11 pagi pada 11 Julai lalu membabitkan dua mangsa terdiri daripada seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan.

"Kenderaan dinaiki dua mangsa iaitu seorang lelaki warga China yang baharu tiba di Malaysia dan seorang perempuan warga tempatan dipintas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki empat lelaki di susur keluar selepas Plaza Tol Mex menghala Cyberjaya.

"Kedua-dua mangsa dibebaskan pada jam 6.30 petang 15 Julai lalu di tepi jalan Pedas-Linggi, Negeri Sembilan selepas adik kepada mangsa warga China itu membayar wang tebusan kepada suspek," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan dan risikan yang dijalankan oleh pihak polis, suspek berjaya dikenal pasti.

Berikutan itu, katanya, operasi membabitkan Bukit Aman dan beberapa kontingen polis dilakukan.

"Hasilnya, pada jam 11.25 malam semalam, polis mengesan seorang daripada suspek yang sedang memandu sebuah kereta di kawasan Jalan Skudai -Gelang Patah, Johor dalam keadaan mencurigakan.

"Sebaik menyedari diekori polis, suspek bertindak memecut keretanya dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan pasukan polis. Anggota polis yang membalas tembakan berjaya menembak mati suspek," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan pada kereta suspek menemui sepucuk pistol milik suspek.

"Semakan mendapati, suspek berusia 51 tahun dan mempunyai enam rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah selain pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah," katanya.

Mohd Shuhaily berkata hasil siasatan lanjut membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah rumah di Taman Impian Emas, Skudai pada jam 12.05 tengah malam tadi.

"Pasukan polis yang hadir ke rumah berkenaan memperkenalkan diri namun tiada individu membuka pintu, dan sebelum pasukan berkenaan bertindak memasuki rumah sebelum beberapa das tembakan dilepaskan dari dalam rumah ke arah mereka.

"Berlaku kejadian berbalas tembakan dan tiga suspek lelaki berusia 35, 39 dan 45 tahun terkena tembakan dan meninggal di tempat kejadian, pemeriksaan polis di rumah itu menemukan sebilah parang dan dua pucuk pistol," katanya.

Menurut Mohd Shuhaily siasatan awal pihaknya mendapati kumpulan ini hanya terbabit dengan satu kes culik dan sedang menyiasat di mana wang tebusan yang dibayar itu disimpan.

Katanya, empat serbuan dijalankan di lokasi yang berasingan di negeri itu dan berjaya menangkap lima suspek termasuk seorang wanita kesemuanya warga tempatan berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun.

"Semakan mendapati dua daripada suspek lelaki mempunyai rekod lampau jenayah.

"Kita turut merampas tiga pucuk pistol jenis Revolver dan sebilah parang panjang," katanya yang memaklumkan kes ini disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihaknya memohon mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian culik berkenaan untuk tampil membantu siasatan.

Tiada ulasan: