Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my

MUHAMMAD Fitri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menyamun rantai leher emas. FOTO Auris Faqrurazzi
Butterworth: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal mengaku tidak salah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merompak rantai leher emas milik seorang wanita warga Myanmar, minggu lalu.
Muhammad Fitri Suwaidi, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak rantai leher emas wanita berkenaan serta sengaja menyebabkan ketakutan terhadap mangsa di hadapan sebuah rumah di Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Jaya, kira-kira jam 4 petang pada 16 Oktober lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Nadhirah tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh.
"Bagaimanapun, sekiranya mahkamah memutuskan untuk membenarkan jaminan, pihak kami memohon syarat tambahan dikenakan.
"Tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai," katanya.
Muhammad Fitri dalam rayuannya memohon mahkamah membenarkan jaminan atas alasan perlu menanggung keluarga.
"Saya mempunyai dua anak yang masih kecil. Ibu tidak bekerja manakala bapa bekerja di kilang. Isteri saya pula bekerja di restoran makanan 'cepat saji.'
"Sehubungan itu, saya merayu mahkamah membenarkan jaminan," katanya.
Roslan kemudian menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.
Difahamkan Muhammad Fitri yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sedang digantung kerja ketika kejadian berlaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan