Harian Metro
Kluang: Wanita yang masih berstatus isteri orang ditahan bersama teman lelakinya dalam pemeriksaan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana disyaki berkhalwat di sebuah inap desa di daerah ini, awal pagi hari ini.
Wanita berusia 40-an itu ditahan pada 1.05 pagi hasil pemeriksaan berkala yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar ini.
Menurut JAINJ, sebelum tangkapan dilakukan, penguat kuasa mendapati banyak kenderaan parkir berhampiran inap desa terbabit yang mempunyai beberapa bilik.
"Ketika membuat pemeriksaan di sebuah bilik, penguat kuasa mengetuk pintu namun tiada sesiapa membukanya.
"Berdasarkan pemerhatian, bilik itu disyaki berpenghuni kerana pendingin hawa didapati terpasang.
"Kira-kira lima minit kemudian, seorang lelaki yang hanya berseluar pendek dan tidak berbaju membuka pintu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut JAINJ, penguat kuasa kemudiannya memperkenalkan diri sebelum masuk untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
"Suasana bilik agak samar, sebaik lampu dibuka, penguat kuasa menemukan seorang wanita berselimut di atas katil," katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat mendapati kedua-duanya mengaku tidak mempunyai ikatan yang sah.
"Wanita itu masih berstatus isteri orang dan bekerja di Kluang, manakala lelaki berusia 30-an yang masih bujang turut bekerja di daerah yang sama.
"Ketika ditanya mengenai suaminya, wanita itu memaklumkan mereka berhadapan masalah rumah tangga dan sedang dalam proses perceraian.
"Keduanya ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 atas kesalahan berkhalwat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan