"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS cuba lemahkan Bersatu, angkat Wawasan dalam PN, kata pemimpin Pemuda

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Pemuda Bersatu hari ini mendakwa PAS cuba melemahkan partinya dan menjadikan Wawasan pimpinan Hamzah Zainudin sebagai pengganti Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, mendakwa pemimpin PAS mendesak supaya Bersatu diketepikan dan Wawasan diberi kedudukan lebih tinggi dalam gabungan itu.

“Namun, rancangan itu gagal susulan pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” katanya dalam satu kenyataan.

Harris turut mempertahankan aduan Bersatu kepada JPPM dengan menegaskan bahawa parti itu mematuhi peraturan selepas wakilnya dinafikan hak untuk hadir, bersuara dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.

Beliau berkata Bersatu mengemukakan lapan alasan berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan PN, termasuk penafian hak mengundi wakilnya, ketiadaan notis mesyuarat yang sah, korum yang didakwa tidak mencukupi serta pelantikan ke jawatan penting tanpa persetujuan sebulat suara parti komponen.

Harris turut menuduh kepimpinan PN mengubah struktur organisasi gabungan itu tanpa kelulusan rasmi Majlis Tertingginya, selain mengetepikan sebuah parti komponen utama dalam keputusan berkaitan dasar dan hala tuju.

Bersatu didakwa tikam dari belakang

Harris menolak dakwaan Ketua Penerangan Wawasan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bahawa Bersatu mengkhianati PN dengan mengemukakan aduan itu.

Wan Fayhsal, bekas anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, menuduh parti itu merancang pembatalan pendaftaran PN selepas kehilangan jawatan kepimpinan dalam gabungan berkenaan, kononnya bagi membuka jalan kepada kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Harris menegaskan aduan Bersatu itu berasas dengan alasan hak parti berkenaan dinafikan dalam mesyuarat pada 16 Julai.

Beliau turut membayangkan tuduhan Wan Fayhsal itu berkait dengan kelangsungan politik Wawasan.

“Wawasan tidak mempunyai banyak pengaruh politik tanpa PN sebagai platformnya. Percubaan parti itu menumpang populariti gabungan berkenaan demi kelangsungan politiknya sendiri akhirnya memakan diri.”

Tiada ulasan: