Audrey Dermawan
audreymd@nst.com.my
Georgetown: Dua sahabat maut sejurus motosikal ditunggang mereka dirempuh kenderaan tidak dikenal pasti di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Dalam kejadian 4 pagi tadi, mangsa membabitkan seorang lelaki berusia 22 tahun dan wanita berusia 20 tahun berasal dari Padang Serai, Kedah.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian berhampiran persimpangan menghala Jambatan Pulau Pinang dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad memaklumkan, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan maut itu kira-kira jam 4.30 pagi tadi.
"Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang dalam perjalanan dari pusat bandar George Town menghala ke Jambatan Pulau Pinang.
"Sebaik tiba di persimpangan bertingkat menghala ke Jambatan Pulau Pinang dan USM, sebuah kenderaan yang tidak dikenal pasti merempuh motosikal mangsa.
"Kenderaan berkenaan dipercayai terus memecut melarikan diri dari lokasi kejadian sejurus rempuhan berlaku," katanya.
Abdul Rozak menambah, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat.
"Kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Pihak polis turut menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Shahidatul Alyaa Nordin di talian 019-6886106," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan