"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Muhyiddin bayangkan salah guna kuasa punca PN berkubur

BORHAN AHMAD

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin membayangkan wujud masalah penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan dalam kepimpinan parti gabungan ketika mengulas pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Kenyataan itu mencetuskan persoalan sama ada Muhyiddin sedang menyindir kepimpinan PN yang kini diterajui Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sebagai pengasas PN, Muhyiddin mengakui berdukacita dengan keputusan tersebut, namun pada masa sama memberikan peringatan keras kepada pihak yang memimpin parti gabungan supaya berlaku adil terhadap semua anggota.

“Keputusan ini adalah suatu peringatan kepada mana-mana pihak yang memimpin sebuah parti gabungan supaya bertindak adil terhadap semua parti anggota dan hendaklah sentiasa mematuhi perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Lebih menarik, Muhyiddin turut mengingatkan pemimpin gabungan supaya tidak menggunakan kedudukan untuk menjaga kepentingan parti atau kelompok tertentu.

“Jangan salah guna kuasa dan kedudukan dalam parti gabungan semata-mata untuk kepentingan parti atau kelompok tertentu sehingga menyebabkan parti gabungan tergelincir daripada tujuan dan matlamat asal penubuhannya,” tegas beliau.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan itu mengundang persoalan mengenai hubungan Bersatu dengan Pas, khususnya selepas Ahmad Samsuri mengambil alih kepimpinan PN daripada Muhyiddin.

Pelantikan Menteri Besar Terengganu itu sebelum ini turut mencetuskan perdebatan mengenai pengaruh Pas yang semakin dominan dalam gabungan pembangkang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kedudukan Bersatu.

Muhyiddin turut mengumumkan Mesyuarat Biro Politik Khas Bersatu akan diadakan malam ini bagi membincangkan langkah seterusnya, sekali gus membuka persoalan sama ada parti itu akan menilai semula kerjasamanya dengan Pas.

Tiada ulasan: