FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang guru sekolah agama dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di Ampang kerana melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar pada 2022.
Hakim Norshila Kamaruddin menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Halim Haron, 63, selepas mendapati beliau bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak.
Mahkamah turut memerintahkan beliau menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan, serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas dibebaskan.
Halim melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki yang berusia 16 tahun ketika kejadian, di sebuah sekolah rendah agama di Rawang pada 26 Feb 2022.
Berdasarkan fakta kes, remaja tersebut hadir ke sekolah berkenaan untuk menemui Halim bagi mendapatkan ‘rawatan’, namun berlaku kejadian amang seksual.
Remaja itu menceritakan kejadian tersebut kepada ibu sekembali ke rumah. Si ibu menasihati remaja itu untuk membuat laporan polis, lalu membawa kepada penangkapan Halim pada sebelah malam hari yang sama.
Dalam pembelaannya, Halim menafikan kejadian amang seksual telah berlaku, dan mendakwa ia hanyalah sesi ‘rawatan’.
Bagaimanapun, mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pihak pendakwaan, sambil menyifatkan keterangan tertuduh sebagai penafian kosong.
“Mahkamah tidak meragui kredibiliti mangsa kerana keterangannya adalah konsisten dan dia mampu menjawab semua soalan daripada pihak pendakwaan mahupun pembelaan,” kata Norshila.
Sambil menegaskan bahawa sekolah sepatutnya menjadi tempat yang selamat bagi kanak-kanak, beliau berkata Halim sebaliknya menggunakan sekolah untuk melakukan kesalahan seksual.
Norshila turut menyatakan bahawa Halim telah menyalahgunakan kedudukan, mengambil kesempatan ke atas anak di bawah umur, serta mengeksploitasi kepercayaan yang diberikan oleh ibu bapa remaja berkenaan.
“Dia sepatutnya menyayangi dan melindungi mangsa sebaliknya orang kena tuduh telah melakukan perbuatan yang keji dan memalukan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan