"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

76 wanita warga asing ditahan ketika pusat hiburan haram di Kepong diserbu

Nor Azizah Mokhtar

KUALA LUMPUR: Seramai 76 wanita warga asing yang disyaki bekerja sebagai pelayan ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan tanpa lesen di Jalan Metro Perdana Barat 8, Kepong, di sini, hari ini.

Turut ditahan seorang lelaki tempatan dalam Op Noda yang dijalankan Polis Kuala Lumpur, menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan seramai 77 individu berusia antara 19 hingga 45 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pemeriksaan mendapati premis berkenaan beroperasi tanpa lesen hiburan atau sebarang kelulusan daripada pihak berkuasa.

“Semua wanita warga asing yang ditahan disyaki berperanan sebagai pelayan di pusat hiburan itu.

“Polis turut merampas beberapa peralatan hiburan termasuk dua pembesar suara, sebuah mikrofon, satu alat kawalan deejay dan sekeping resit perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke mahkamah hari ini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan) 1992 kerana menjalankan aktiviti hiburan tanpa lesen atau kebenaran pihak berkuasa.

“Kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 berkaitan kesalahan memasuki atau tinggal di Malaysia tanpa pas atau permit sah.

“Selain itu, Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 berhubung pelanggaran syarat pas serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 berkaitan penggajian warga asing tanpa pas sah,” katanya.

Fadil berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang serta memastikan keselamatan masyarakat terpelihara.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur menerusi talian 03-2115 9999 atau menghubungi balai polis berhampiran.

Tiada ulasan: