"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Anwar elak isu lebih besar ‘mafia korporat’

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin Bersama Rafizi Ramli mendakwa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengelak daripada menangani isu lebih besar berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rafizi menzahirkan rasa kecewa terhadap respons Anwar terhadap soalan mengenai isu itu di Dewan Rakyat hari ini, menegaskan bahawa dakwaan berkenaan bukan sekadar tuduhan rasuah atau salah guna kuasa biasa.

“Skandal mafia korporat merujuk kepada pendedahan-pendedahan bahawa ada kumpulan di agensi penguatkuasaan, iaitu SPRM dan polis, yang dituduh bersekongkol dengan sekumpulan ahli perniagaan untuk mengugut ahli-ahli perniagaan lain menyerahkan syarikat-syarikat mereka.

“Tuduhan mengenai mafia korporat ini adalah luar biasa kerana ia mempersoalkan sama ada kumpulan jenayah haram telah menyusupi agensi penguatkuasaan.

“Persoalan pokok mengenai mafia korporat tidak disentuh atau dijawab langsung oleh Anwar di Parlimen hari ini,” kata bekas timbalan presiden PKR itu dalam kenyataan.

Terdahulu, Anwar memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan mewarisi sistem yang tidak telus yang membenarkan jenayah korporat serta manipulasi pasaran berlarutan tanpa sekatan selama berdekad-dekad.

Beliau berkata, kelemahan sistem terdahulu menyebabkan tindakan penguatkuasaan jarang diambil dalam kes berprofil tinggi membabitkan kerugian berbilion ringgit, termasuk pengambilalihan korporat dan transaksi perbankan yang didakwa dipengaruhi campur tangan politik.

Anwar turut mendakwa beberapa kes berkaitan kegiatan yang digelar mafia korporat mempunyai kaitan dengan seorang bekas menteri kewangan berpengaruh yang menguasai sumber kewangan besar.

Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan bahawa seorang menteri menerima RM9.5 juta daripada seorang ahli perniagaan, menyifatkannya sebagai kenyataan berunsur politik yang tidak berasas. Tambahnya, menteri itu telah membawa perkara itu ke mahkamah.

Walaupun Anwar tidak menamakan menteri terbabit, individu yang dituduh menerima RM9.5 juta itu ialah Menteri Sumber Manusia R Ramanan.

Bagaimanapun, Rafizi mempersoalkan sama ada Ramanan benar-benar memulakan sebarang tindakan mahkamah, memandangkan tiada sebarang laporan berhubung perkara tersebut setakat ini.

Tiada ulasan: