"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Bekas jurulatih taekwondo mengaku tidak bersalah amang seksual pelatih kanak-kanak

Siti Rohana Idris
Soufa Pinyousos didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu. Foto NSTP
KOTA BHARU: Bekas jurulatih taekwondo mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan kontak fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan pada 2017, 2025 dan Februari lalu.

Tertuduh, Soufa Pinyousos, 42, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan kontak fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 13 tahun tiga bulan ketika kejadian.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan ketika mangsa berusia 13 tahun tujuh bulan dan 14 tahun.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penkara sehingga 20 tahun dan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak yang sama dengan pertuduhan kedua dan ketiga.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.

Keempat-empat kesalahan itu dilakukan di sebuah kelab latihan taekwondo di Jalan Pengkalan Chepa, di sini, pada petang September 2017, 10 malam April 2025, 10 malam 20 Ogos 2025 dan pada 12 tengah hari antara 17 hingga 18 Februari 2026.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Arina Razali dan Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Arif Mohd Zain dan Zubairi Salleh.

Terdahulu, Siti Arina mencadangkan jaminan RM30,000 bagi pertuduhan pertama, manakala Kamarul Hasyime tidak menawarkan ikat jamin bagi tiga lagi pertuduhan.

Muhammad Arif dalam rayuannya memohon jaminan yang minimum dengan alasan tertuduh sudah digugurkan dan tidak lagi menjadi pelatih di kelab latihan taekwondo terbabit.

“Tertuduh yang juga pemegang kad pemastautin tetap atau MyKad merah ketika ini hanya bekerja sendiri dengan pendapatan antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.

“Selain itu, anak guam saya juga perlu menanggung seorang isteri dan empat anak, malah tiada alasan untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warga tempatan termasuk syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah, melapor diri di Balai Polis Pengkalan Chepa selain dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 26 November depan untuk sebutan semula kes dan tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan.

Tiada ulasan: