"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Remaja 16 tahun diselamatkan daripada sindiket pelacuran

Noor Sara Mohamad Hanif

KANGAR: Polis menyelamatkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun yang dipercayai menjadi mangsa eksploitasi seks oleh sindiket pelacuran melalui aplikasi media sosial dalam serbuan di sebuah premis di Arau, semalam.

Ketua Polis Perlis, Deputi Komisioner Hamzah Hashim berkata, dalam serbuan Op Noda pada jam 11.15 malam itu, pihaknya turut menahan dua lelaki warga tempatan.

Beliau berkata, penahanan suspek dan penyelamatan mangsa dilakukan hasil maklumat serta risikan pihak polis berhubung aktiviti jenayah pelacuran membabitkan eksploitasi kanak-kanak di kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan, polis menahan dua lelaki berkenaan yang disyaki menjalankan promosi aktiviti pelacuran menggunakan aplikasi MiChat dan mengeksploitasi mangsa secara seksual.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan boleh dikenakan sebatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hamzah berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan tidak melanggar undang-undang dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sangat menghargai setiap maklumat yang disalurkan.

“Oleh itu, kita memohon kerjasama masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Tiada ulasan: