Suraya Ali
am@hmetro.com.my

PAGAR utama Balai Undang Luak Rembau ditampal notis pengosongan yang menimbulkan kekecohan pagi tadi. FOTO ihsan Peguam Emirul Sarifudin Nor Azmi
Kuala Lumpur: Keadaan di Balai Undang Luak Rembau kecoh pagi tadi apabila berlaku percubaan menghalang petugas yang menyokong Datuk Abdul Rahim Yasin sebagai Undang Luak Rembau ke-22 daripada memasuki premis berkenaan.
Insiden kecoh yang berlarutan hampir dua jam bermula jam 9.45 pagi membabitkan pihak Datuk Hassan Ab Hamid sebelum kedua-dua pihak akhirnya bersetuju untuk menyelesaikan isu berkenaan menerusi saluran mahkamah.
Peguam mewakili Abdul Rahim, Emirul Sarifudin Nor Azmi, mendakwa tindakan menghalang kemasukan petugas berkenaan adalah tidak sah dari segi undang-undang.
"Pihak-pihak telah bersetuju bahawa sebarang tindakan hendaklah berlandaskan undang-undang serta prinsip Raja Berperlembagaan. Arahan mahkamah pada kes pengosongan (eviction) sebelum ini juga menetapkan kes perlu difailkan semula atas nama Pengarah Tanah dan Galian (PTG).
"Polis tidak boleh bertindak secara paksa tanpa Perintah Mahkamah yang sah. Malah, Pengarah Tanah dan Galian juga perlu mendapatkan kebenaran Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan atau Menteri Besar terlebih dahulu untuk memulakan sebarang tindakan berkenaan pentadbiran Tanah Rizab," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Emirul Sarifudin turut bertindak mewakili Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin dalam isu berkaitan.
Krisis pimpinan dan keabsahan institusi adat Luak Rembau ini berpanjangan sejak April lalu berikutan pertikaian mengenai keabsahan penyandang jawatan berkenaan.
Pada 29 Jun lalu, Pejabat Daerah dan Tanah Rembau mengeluarkan surat rasmi mengarahkan pengosongan Kediaman Rasmi dan Balai Undang Luak Rembau serta-merta.
Langkah itu diambil berpandukan keputusan Sidang Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bagi membolehkan pihak yang diiktiraf mengambil alih fasiliti rasmi pentadbiran Luak Rembau.
Susulan itu, kerajaan Negeri Sembilan memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Seremban pada Ogos lalu bagi mendapatkan perintah pengosongan premis adat berkenaan daripada Abdul Rahim.
Bagaimanapun, pada 24 Ogos, Mahkamah Tinggi Seremban menolak saman pemula kerajaan negeri atas alasan kerajaan negeri tidak mempunyai locus standi (hak di sisi undang-undang) untuk campur tangan dalam permohonan pengosongan premis adat.
Mahkamah memutuskan isu keabsahan jawatan dan premis berkenaan tertakluk di bawah ranah Adat Perpatih dan Perlembagaan Negeri.
Kemelut berkenaan berlanjutan sehingga Oktober apabila satu permohonan semakan kehakiman difailkan beberapa pembesar adat termasuk Abdul Rahim berhubung pertikaian pengisytiharan dan proklamasi kedudukan institusi tertinggi negeri.
Permohonan itu bagaimanapun ditarik balik kemudiannya oleh pihak pemohon.
Pihak pentadbiran negeri dan pengkritik berhujah pemohon tidak mempunyai locus standi berikutan pengiktirafan rasmi Hassan oleh DKU.
Krisis adat berkenaan mencetuskan ketegangan apabila lebih 10 pemimpin utama adat Luak Rembau mendakwa tidak dimaklumkan berhubung majlis istiadat mengadap Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pada 25 Jun lalu bagi menzahirkan penzahiran Undang Luak Rembau yang baharu.
Kumpulan pembesar adat berkenaan kekal dengan pendirian menyokong Abdul Rahim sebagai Undang Luak Rembau ke-22 yang didakwa telah dilantik dan dimasyhurkan mengikut adat lebih awal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan