"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salah guna dadah tertinggi di Terengganu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis mencatatkan kadar penagihan serta penyalahgunaan dadah tertinggi sehingga Jun lalu, menurut data bersepadu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), polis, Kementerian Kesihatan dan Pusat Pemulihan Persendirian.

Dalam tempoh sama, sebanyak 130,307 kes penyalahgunaan dadah turut direkodkan di seluruh negara, iaitu 381 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

Ketua Pengarah AADK, Ruslin Jusoh, berkata Terengganu merekodkan kadar tertinggi 735 orang bagi setiap 100,000 penduduk, diikuti Kelantan (694), Kedah (669) dan Perlis (646).

“Kedudukan empat negeri ini memberikan gambaran mengenai tahap penagihan dan penyalahgunaan dadah yang memerlukan perhatian serta intervensi berfokus.

“Faktor geografi turut menyumbang kepada senario ini, di mana laluan penyeludupan rentas sempadan turut dikenal pasti antara faktor risiko yang mempengaruhi masalah dadah di kawasan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Justeru, beliau berkata, AADK memfokuskan pelaksanaan penguatkuaaan, program pencegahan dan pemerkasaan masyarakat di negeri berisiko tinggi, membabitkan institusi pendidikan, keluarga serta komuniti.

Katanya, 242 program pencegahan dan kesedaran awam telah dilaksanakan dengan penyertaan 16,408 orang, termasuk 228 program di Terengganu, Kelantan serta Kedah membabitkan lebih 16,000 peserta yang memberi penekanan kepada peningkatan kesedaran, penglibatan komuniti dan usaha pencegahan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, sebanyak 4,253 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negara sehingga 18 Okt lalu, dengan 30,157 orang ditahan untuk menjalani program rawatan dan pemulihan.

Dalam bidang rawatan dan pemulihan, jelasnya, AADK memberi keutamaan rawatan dan pemulihan sukarela, di mana purata individu yang tampil mendapatkan rawatan dan pemulihan dadah secara sukarela menyaksikan peningkatan daripada 75 orang sebulan tahun lalu kepada 232 orang sebulan tahun ini.

“Peningkatan ini menunjukkan perkembangan positif susulan pelaksanaan pindaan Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang berkuat kuasa 22 Ogos 2025.

“AADK akan terus menggunakan pendekatan berasaskan data bagi mengenal pasti kawasan berisiko, menentukan keutamaan intervensi serta memperkukuh penyelarasan program pencegahan, rawatan dan pemulihan bersama agensi berkaitan.”

Tegasnya, AADK kekal komited memperkukuh usaha dengan kerajaan negeri melalui mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) yang dipengerusikan menteri besar, ketua menteri dan premier bagi menangani masalah penagihan dan penyalahgunaan dadah melalui kerjasama pelbagai agensi serta penglibatan aktif keluarga, institusi pendidikan dan komuniti demi kesejahteraan masyarakat.

Tiada ulasan: