"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bunuh rakan sekerja dengan tombak, warga Indonesia dipenjara 40 tahun

Abdul Rahemang Taiming
am@hmetro.com.my
Lipus Linus dihukum penjara 40 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh pekerja ladang, tiga tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Lipus Linus dihukum penjara 40 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh pekerja ladang, tiga tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Tawau: Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara maksimum 40 tahun terhadap lelaki warga Indonesia selepas didapati bersalah membunuh seorang pekerja di Ladang Tiger, Sime Darby Plantation, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Lipus Linus, 53, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan di akhir kes pembelaan.

Lipus didapati bersalah membunuh Herman Muhtar, 33, yang juga warga Indonesia dan bekerja sebagai buruh di ladang itu.

Mengikut pertuduhan, Lipus didakwa membunuh Herman di Ladang Tiger, Sime Darby Plantation, daerah Tawau, antara jam 11.25 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 19 Julai 2023.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap Lipus berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 20 Julai 2023. Bagaimanapun, mahkamah tidak mengenakan hukuman sebatan mengambil kira faktor usia tertuduh yang kini berusia 53 tahun.

Selain itu, mahkamah juga memerintahkan Lipus dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman bagi tindakan pengusiran ke negara asal.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fillanny Siji, manakala tertuduh diwakili peguam Zahbia Ophent.

Berdasarkan fakta kes, sebelum kejadian Herman pergi memancing bersama dua rakannya di sebuah kolam di ladang berkenaan sebelum meninggalkan mereka dan pulang terlebih dahulu.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian kedua-dua rakannya terdengar jeritan Herman sebelum melihat Lipus melalui kawasan itu sambil membawa tombak.

Mereka kemudian memaklumkan kejadian itu kepada rakan lain yang membuat pemeriksaan dan menemukan mangsa terbaring dengan beberapa kesan luka tusukan pada tubuhnya.

Lipus ditahan polis di Tapak Seratus Tahun, Sabindo, Tawau, jam 11.33 malam pada hari sama.

Tiada ulasan: