MOHD YUNUS YAKKUB

Pegawai serbuan menunjukan tangki simpanan khas bagi mencampurkan minyak masak peket subsidi dan minyak terpakai sebelum dijual di pasaran.
KLANG – Taktik menyeleweng minyak masak peket bersubsidi dengan mencampurkannya bersama minyak masak terpakai terbongkar dalam serbuan di sebuah premis tidak bernombor di Pelabuhan Klang di sini, hari ini.
Serbuan kira-kira pukul 1.10 tengah hari menerusi Ops Tiris 4.0 itu membawa kepada rampasan 15,900 kilogram (kg) minyak masak bernilai RM133,950.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, pemeriksaan menemukan lambakan kotak berisi minyak masak peket satu kilogram serta plastik bungkusan yang telah dipotong.
Menurutnya, minyak masak berkenaan kemudiannya dicampurkan bersama minyak masak terpakai di dalam tangki simpanan khas.
“Campuran tersebut dipercayai disimpan untuk dijual semula kepada syarikat pemprosesan minyak masak terpakai atau dipasarkan melalui pasaran gelap bagi mengaut keuntungan berganda,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Kata beliau, serbuan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tengah turut menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang merupakan pekerja di premis terbabit bagi membantu siasatan.
Tambahnya, beberapa peralatan yang digunakan untuk kegiatan ini termasuk sebuah lori telah disita dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk 15,900 minyak masak berjumlah RM133,950.
“Bekalan minyak masak bersubsidi itu dipercayai diperoleh daripada pihak yang disyaki pemegang lesen barang kawalan berjadual (CSA) yang sah.
“Kita sedang pasti individu atau syarikat yang terbabit serta rantaian pengedaran minyak masak peket berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Selain itu, syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan