KOSMO!

PERCERAIAN menjadi sebab seorang lelaki merobohkan rumah yang dibina atas tanah milik keluarga isterinya di Jawa Barat. - KOMPAS.COM/SUKOCO
JAKARTA – Seorang lelaki yang dikenali sebagai SJ nekad merobohkan rumah yang dibina dengan menggunakan jentera berat di Desa Sidoharjo, Kecamatan Jambon, Ponorogo, Jawa Timur selepas gagal mencapai kata sepakat berhubung ganti rugi pembinaan kediaman tersebut, lapor saluran berita Kompas.
Rumah tersebut dibina menggunakan hasil titik peluhnya yang merantau bekerja di Malaysia sejak 2023.
Kediaman yang bernilai Rp 250 juta (RM56,000) dirobohkan selepas selepas konflik rumah tangganya bersama isteri yang dikenali sebagai, PL, berakhiran dengan perceraian.
Difahamkan, kediaman tersebut dibina di atas tanah milik keluarga PL.
Ketua Polis Sektor Jambon, AKP Sarwoto berkata, krisis rumah tangga pasangan terbabit mula tercetus sekitar Ogos lalu sebelum berlarutan hingga membawa kepada keretakan perkahwinan dan proses perceraian.
“Di tengah-tengah proses perceraian, timbul isu ganti rugi pembinaan rumah. SJ meminta ganti rugi sebanyak Rp 100 juta (RM22,000) daripada pihak isteri.
“Namun, pihak wanita enggan membayar jumlah tersebut. Memandangkan tanah itu milik keluarga isteri manakala kos pembinaan ditanggung suami, kegagalan mencapai kata sepakat menyebabkan SJ bertindak merobohkan rumah berkenaan,” katanya.
Tambah Sarwoto, usaha rundingan yang dijalankan oleh wakil penduduk setempat turut menemui jalan buntu. – AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan