"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Faktanya, kemelut sudah selesai. Tuanku Muhriz kekal bertakhta.

'Setakat itu sahaja Allah beri 'pinjam' pemerintahan pada mereka, terimalah hakikat' - Dr Faridzwan tegaskan Tuanku Muhriz kekal bertakhta

Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my

Bangi: Rakyat Negeri Sembilan dilihat masih dibelenggu persepsi berhubung kemelut antara kerajaan negeri dengan institusi diraja, meskipun isu berkenaan disifatkan sudah selesai menerusi keputusan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) pada 31 Julai lalu.

Dato Lembaga Lingkungan Lenggeng, Dato Penghulu Dagang Dr Faridzwan Abdul Ghafar berkata, persidangan DKU pada tarikh itu memutuskan pemecatan atau perlucutan pesaka Datuk Undang ketiga ditamatkan, selain melantik Datuk Undang baharu dengan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Beliau menegaskan keputusan atau nasihat yang dikeluarkan DKU adalah muktamad dan tidak boleh dibawa atau dibicarakan di mahkamah atas sebarang alasan.

"Jika tanya saya bila kemelut ini akan selesai, ia sudah selesai. Cuma masalahnya, kenapa kita rasa macam tidak selesai? Sebab ada dalam kalangan kita yang melayan pihak sebelah sana.

"Faktanya, kemelut sudah selesai. Tuanku Muhriz kekal bertakhta. Itu faktanya," katanya ketika menjadi panel Program Dialog Ummah 2.0: Memperkukuh Institusi Diraja, Mensejahterakan Ummah, di sini, hari ini.

Faridzwan turut menasihatkan pihak yang dilucutkan jawatan sebagai pesaka Datuk Undang supaya menerima hakikat bahawa mereka tidak lagi memegang kedudukan berkenaan.

"Kita sudah ada 'line-up' (barisan) bagi Pesaka Datuk Undang yang memegang jawatan itu sekarang. Yang dahulunya pernah memegang jawatan itu, lupakanlah.

"Sudah setakat itu sahaja Allah SWT memberi 'pinjam' pemerintahan kepada mereka, jadi terimalah hakikat itu," katanya.

Sesi soal jawab program berkenaan menyaksikan beberapa peserta mengemukakan soalan mengenai kemelut Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan suasana gamat dalam dewan.

Beberapa individu turut melaungkan 'Daulat Tuanku' ketika Faridzwan memberikan penjelasan.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Kemelut institusi diraja Negeri Sembilan tercetus susulan proklamasi bertarikh 19 April lalu yang dikeluarkan Undang Yang Empat bagi menurunkan Tuanku Muhriz dan memilih Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja'afar sebagai pengganti.

Pertikaian kemudian timbul berhubung kesahan proklamasi itu serta pematuhannya terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.

Pada 31 Julai lalu, DKU memutuskan proklamasi berkenaan tidak sah, antara lain berikutan persoalan mengenai status beberapa penandatangan dan pematuhan tatacara yang ditetapkan.

DKU turut menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pada 16 September lalu, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) mengumumkan proklamasi penurunan takhta dan pemilihan pengganti disempurnakan, sekali gus mengisytiharkan Tuanku Muhriz diturunkan takhta dan Tunku Nadzaruddin diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu.

Pada 17 September lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi bertarikh 19 April itu tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

Tiada ulasan: