"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Menjelang PRU16: Mampukah ‘bulan’ PAS galas jenama PN?

Amin Ishak

Pembatalan pendaftaran PN meletakkannya dalam dilema menjelang PRN Melaka sama ada membawa ‘bulan’ PAS, mempertaruhkan Wawasan yang masih baru atau pilih jalan lain termasuk ‘dacing’ BN.

Enam tahun lalu, menjelang PRN Sabah 2020, Perikatan Nasional (PN) memperkenalkan lambang yang kemudian menjadi identiti gabungan itu – tulisan putih ‘PERIKATAN NASIONAL’ dengan latar biru tua.

Logo itu diperkenalkan Muhyiddin Yassin pada 29 Ogos 2020 sebelum dilancarkan secara rasmi di Kota Kinabalu pada bulan berikutnya untuk digunakan dalam PRN Sabah. Ketika itu, PN masih sebuah jenama politik baru yang cuba menyatukan parti berbeza di bawah satu lambang.

Sejak itu, logo PN melalui beberapa pilihan raya dan semakin biasa dilihat pengundi. Antara ujian awalnya ialah PRN Melaka pada November 2021, apabila gabungan berkenaan bertanding di semua 28 kerusi DUN.

Hasilnya tidak memberangsangkan. PN sekadar menang dua kerusi, Sungai Udang menerusi Dr Mohd Aleef Yusof dan Bemban melalui Dr Mohd Yadzil Yaakub. Kedua-duanya ketika itu calon Bersatu manakala PAS kalah di semua lapan kerusi ditandinginya.

Namun, hanya setahun kemudian, kedudukan PN berubah dengan ketara.

Pada PRU15, gabungan itu memenangi 74 kerusi Parlimen. PAS menjadi penyumbang terbesar dengan 43 kerusi, manakala Bersatu mendapat 31. Bagi PAS, 43 kerusi itu pencapaian terbaik dalam sejarah penyertaannya dalam PRU.

Pencapaian itu menarik kerana ia tidak dibina dengan logo bulan semata-mata. Di Kelantan dan Terengganu, PN menggunakan lambang PAS, tetapi di banyak negeri lain calonnya bertanding di bawah logo PN.

Melaka antara contoh paling jelas. PAS yang sebelum itu tidak mempunyai kerusi Parlimen di negeri berkenaan berjaya menembusi Tangga Batu menerusi Bakri Jamaluddin dan Jasin menerusi Zulkifli Ismail. Kedua-duanya menang atas tiket PN, bukan menggunakan logo bulan.

Ia tidak bermakna logo menjadi satu-satunya sebab kemenangan. Kekuatan calon, jentera, isu semasa dan sentimen pengundi tetap memainkan peranan. Tetapi pengalaman PRU15 menunjukkan jenama PN sekurang-kurangnya dapat menjadi identiti bersama yang membawa PAS keluar daripada kawasan tradisinya.

Sebab itu pembatalan pendaftaran PN oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Selasa membawa masalah lebih besar daripada kehilangan satu lambang.

JPPM membatalkan pendaftaran gabungan itu selepas mendapati penjelasan dikemukakan PN gagal menyangkal asas pembatalan dalam notis terdahulu. PN sudah menyatakan akan mencabar keputusan itu melalui proses undang-undang dan turut mempertimbangkan rayuan kepada menteri dalam negeri.

Tetapi kalendar pilihan raya terus berjalan. Penamaan calon PRN Melaka ditetapkan pada 31 Okt, diikuti pengundian awal 10 Nov dan hari mengundi pada 14 Nov. Jika isu pendaftaran PN belum diselesaikan menjelang penamaan calon, komponennya perlu bersedia dengan pilihan lambang lain.

Bulan paling mudah dikenali

Antara pilihan yang sudah disebut secara terbuka ialah lambang PAS.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor berkata tiada masalah untuk gabungan itu menggunakan logo PAS kerana lambang berkenaan sudah dikenali pengundi.

Dari segi pengenalan jenama, PAS mempunyai kelebihan yang sukar dinafikan. Bulan sudah digunakan parti itu selama beberapa dekad dan sangat sinonim dengan PAS, terutama di negeri seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Namun, masalahnya ialah Melaka bukan Kelantan atau Terengganu.

Penganalisis Mazlan Ali sebelum ini berkata, logo PAS paling dikenali antara pilihan yang ada jika PN tidak dapat menggunakan lambangnya, tetapi penggunaannya di luar kubu tradisi parti itu membawa cabaran, khususnya dalam menarik pengundi bukan Melayu dan di kerusi campuran.

Ahli akademik daripada Universiti Teknologi Malaysia itu juga berpandangan, parti lain dalam PN tidak menikmati tahap pengenalan lambang yang sama. Logo Gerakan kurang dikenali dalam kalangan pengundi Melayu, MIPP mempunyai tahap pengenalan lebih rendah, manakala Wawasan masih terlalu baru untuk pengundi benar-benar serasi dengannya.

Di sinilah dilema PAS muncul. Bulan ialah jenama kukuh, tetapi pencapaian terbaik parti itu di Melaka datang ketika dua calonnya membawa logo PN.

Wawasan ada tokoh tapi bagaimana dengan logo?

Pilihan lain ialah Wawasan.

Parti itu mempunyai barisan pemimpin berprofil tinggi. Hamzah Zainudin ialah presidennya, manakala bekas ketua menteri Melaka Rahim Thamby Chik antara naib presiden.

Tetapi usia jenama Wawasan masih singkat. Ia penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia, dengan pertukaran nama dan logo mendapat kelulusan JPPM pada Julai lalu sebelum diterima secara rasmi sebagai komponen PN.

Tokoh terkenal boleh membantu membawa parti kepada perhatian umum, tetapi soal yang lebih besar ialah sejauh mana logo Wawasan sudah dikenali pengundi biasa menjelang hari mengundi.

Bagaimana pula ‘dacing’?

Ada satu lagi kemungkinan yang menjadikan persoalan logo ini lebih menarik – PAS bertanding menggunakan lambang Barisan Nasional (BN).

Presiden PAS Hadi Awang sebelum ini dilaporkan bersedia mempertimbangkan penggunaan logo BN pada PRN Melaka. Timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata PAS bersedia menggunakan lambang itu sekiranya langkah berkenaan dapat membantu memuktamadkan kerjasama dengan Umno.

Dari sudut Melaka sahaja, dacing mempunyai kelebihan sebagai lambang yang sudah lama dikenali pengundi. Tetapi implikasinya tidak semestinya berhenti selepas PRN.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia sebelum ini membangkitkan soal timbal balik. Jika PAS sanggup menggunakan logo BN di Melaka, persoalan boleh timbul sama ada BN pula akan menuntut ruang serupa di negeri diterajui PAS pada masa depan.

Mazlan pula melihat kemungkinan timbul kerumitan jika hubungan kedua-dua parti berubah selepas calon PAS bertanding dengan logo dan watikah BN, manakala Azmi Hassan berkata aturan sedemikian juga boleh memberi BN modal tawar-menawar dalam rundingan kerusi menuju PRU16.

Justeru, keputusan mengenai lambang bukan sekadar soal mendapatkan logo untuk dicetak pada kertas undi 14 Nov. Ia turut menyentuh identiti, hubungan antara parti dan kedudukan dalam rundingan politik selepas Melaka.

Logo PN bermula di Sabah pada 2020 sebagai lambang kepada sebuah gabungan baharu. Enam tahun kemudian, ia sudah melalui kekalahan besar di Melaka dan kemuncak 74 kerusi pada PRU15 sehingga menjadi jenama politik yang dikenali.

Kini pembatalan pendaftarannya meletakkan satu persoalan yang sukar dielakkan: jika logo PN tidak dapat dibawa ke PRN Melaka, adakah pengundi yang selama ini memilih PN sanggup mengikutnya apabila ‘bulan’, Wawasan atau mungkin ‘dacing’ mengambil tempat di kertas undi?

Tiada ulasan: