MOHD YUNUS YAKKUB

Abdul Muhaimin menunjukan laluan digunakan sindiket penyeludupan migran tersebut.
KLANG – Taktik memanipulasi keadaan jerebu untuk menyeludup masuk 54 warga Indonesia ke negara ini berjaya dipatahkan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Tanjung Karang, tengah malam tadi.
Kesemua migran termasuk 23 wanita itu ditahan ketika menaiki bot kayu tanpa pendaftaran kira-kira pukul 12.30 malam.
Turut ditahan tekong dan dua awak juga warga sama dengan kesemua mereka berusia 18 hingga 60 tahun.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan hasil maklumat risikan yang diterima lebih sejam sebelum operasi.
Menurutnya, siasatan mendapati sindiket menggunakan laluan di kawasan pinggir liputan radar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Keadaan jerebu memudahkan mereka memasuki kawasan perairan kita sehingga menyukarkan pengesanan pada radar.
“Bot Penggalang 41 telah diatur gerak bagi menjalankan pemeriksaan sebelum menahan bot kayu berwarna merah berjalur hitam yang dinaiki kesemua migran itu,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM1,300 hingga RM1,500 bagi setiap migran.
Tekong pula dipercayai menerima upah kira-kira RM1,600, manakala setiap awak-awak memperoleh RM1,500.
“Sindiket dipercayai mengumpulkan migran di satu lokasi di Indonesia sebelum membawa mereka ke negara ini dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 26 jam,” katanya.
Kata Abdul Muhaimin, hasil siasatan turut mendapati sebahagian migran memilih sindiket ekoran pernah disenarai hitam termasuk akibat tinggal lebih masa sebelum ini.
Selain itu, katanya, terdapat migran yang mahu memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki perairan Malaysia melalui laluan yang tidak diwartakan serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM),” katanya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan