"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aliff Daniel, ibu, adik lafaz taubat, ucap syahadah

NUR ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL
(Dari kiri) Aliff Daniel bersama ibu, Rohizayanti dan adiknya, Nur Ranea Ezreen melafazkan taubat dan dua kalimah syahadah pada Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Shah Alam, hari ini.
PETALING JAYA – Aliff Daniel Adli bersama ibu dan adik perempuannya melafazkan taubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah dalam Majlis Pengisytiharan Taubat (Istitabah) di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, hari ini.

Dalam pengisytiharan tersebut, Aliff Daniel mengakui pernah melakukan pelbagai amalan dan ritual keagamaan selain Islam yang bertentangan dengan hukum syarak sehingga mencetuskan penghinaan terhadap agama Islam serta kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Dia yang melafazkan pengisytiharan taubat secara terbuka turut mengakui pernah berpuasa selama seminggu mengikut kepercayaan agama Hindu dengan hanya memakan sayur-sayuran dan minum air sebelum menyertai ritual keagamaan sempena perayaan Thaipusam pada Januari 2024.

Menurutnya, perbuatan itu dilakukan di sebuah kuil di Batu Caves, Gombak, Selangor atas alasan bernazar untuk kesembuhan ibunya, kebahagiaan keluarga, penghapusan dosa dan penyucian diri.

Bagi melaksanakan ritual berkenaan, dia memakai pakaian vesti berwarna putih, kalungan bunga malai dan tasbih kayu, selain mencucuk trisula pada pipi serta vel pada lidah, membawa palkudam atau bekas susu dan menjunjung kavadi sebelum melakukan upacara di dalam kuil.

“Saya menyedari bahawa perlakuan saya demikian adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam dan bercanggah dengan prinsip pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya ketika membacakan pengisytiharan taubat.

Dia turut mengakui pernah melakukan pelbagai bentuk rawatan menggunakan mantera yang bukan bersumberkan ajaran Islam serta mencampurkan amalan kepercayaan dan unsur agama lain dalam kaedah rawatan spiritual.

Sehubungan itu, Aliff Daniel berjanji tidak akan mengulangi perbuatan berkenaan, sebaliknya berusaha mendalami ilmu agama dan mengamalkan ajaran Islam berdasarkan pengetahuan yang benar.

“Saya insaf dan berazam untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Rohizayanti Ramli dalam pengisytiharan taubat turut mengakui kelemahan dan kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai ibu sehingga menyebabkan anaknya terjebak dengan fahaman serta amalan yang menyimpang daripada akidah Islam.

Rohizayanti mengakui perkara itu berpunca daripada kekurangan ilmu agama, kelekaan terhadap urusan duniawi serta kelemahan dalam memantau dan membimbing pemikiran, pergaulan serta persekitaran anaknya.

“Saya mengakui telah terleka daripada memelihara fitrah asal dan memimpin anak kandung saya sehingga menyebabkan dia terjebak, terpengaruh dan mengamalkan fahaman serta doktrin yang terpesong daripada pegangan akidah Islam yang benar,” katanya.

Rohizayanti turut berikrar untuk kembali sepenuhnya kepada ajaran Islam, membersihkan diri dan keluarga daripada sebarang amalan yang menyeleweng serta meningkatkan kefahaman agama dengan menghadiri kelas pengajian yang sahih dan bertauliah.

Adik perempuan Aliff Daniel, Nur Ranea Ezreen yang juga pelakon pula mengakui kekesalan atas kelemahan dirinya dalam menjaga kemurnian institusi kekeluargaan, termasuk kegagalan memberikan teguran, nasihat dan sokongan secukupnya sehingga abangnya terpengaruh dengan amalan ritual.

“Saya mengaku dan menyesali sekiranya terdapat tindakan, sikap acuh tak acuh, kelekaan masa lalu atau kegagalan saya dalam memberikan teguran, nasihat dan benteng sokongan yang secukupnya sehingga membiarkan persekitaran atau pengaruh luar merosakkan pegangan agama abang saya,” katanya.

Dia turut berazam memperbaiki diri, memperkukuh pegangan akidah serta membantu memulihkan abangnya melalui pendekatan kasih sayang, doa berterusan dan kerjasama dengan pihak berkuasa agama.

Dalam majlis tersebut, ketiga-tiga mereka kemudian melafazkan dua kalimah syahadah sebagai tanda keinsafan dan tekad untuk kembali menghayati ajaran Islam serta memohon keampunan Allah SWT. – KOSMO! ONLINE

Terengganu: Pemandu China mengaku salah bawa masuk empat PATI

NURSYASYA NADHIRAH ZABIDI
Zhibo (tengah) menghadapi pertuduhan menyeludup masuk empat PATI warga China di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Seorang lelaki warga China mengaku bersalah atas pertuduhan membenarkan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) senegara menaiki kenderaan dipandunya pada bulan lalu di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Tuo Zhibo, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Innova didakwa membenarkan empat PATI warga China memasuki dan menaiki MPV tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan Zhibo di sebuah stesen minyak di Kampung Tok Lawit, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu
pada pukul 4 petang, 11 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman antara RM5,000 dan RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap PATI jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 November ini sebagai tarikh jatuh hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Amirah Abdul Razak manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE

Remaja perempuan hilang: Nur Aziela dikesan berada di Teluk Intan bersama keluarga teman lelakinya.

MUHAMMAD ZIKRI
NUR AZIELA yang dilaporkan hilang sejak 4 Oktober lalu dikesan berada di Teluk Intan, Perak.
PONTIAN – Remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak 4 Oktober lalu, Nur Aziela Hasan, 18, dipercayai berada di Teluk Intan, Perak bersama keluarga teman lelakinya.

Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan bapanya, Hasan Bachok, 56, yang kini berada di Teluk Intan bagi mencari dan bertemu sendiri anaknya selepas mendapat maklumat mengenai keberadaan remaja berkenaan.

Hasan berkata, dia bergegas ke bandar tersebut pagi ini selepas dimaklumkan Nur Aziela dipercayai tinggal bersama keluarga teman lelakinya di Taman Lagenda.

Menurutnya, dia berharap pihak polis di Teluk Intan dapat membantu mengiringinya ke kediaman berkenaan bagi membolehkan dia bertemu anaknya.

Katanya, meskipun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian telah memaklumkan kes kehilangan Nur Aziela selesai selepas remaja itu membuat laporan polis di Balai Polis Kuang, Sungai Buloh, Selangor, dia masih belum berpuas hati selagi belum melihat sendiri keadaan anaknya.

“Saya bukan tidak menerima pengesahan polis bahawa anak saya sudah ditemui, tetapi saya mahu berjumpa sendiri dengannya kerana sudah lebih sebulan dia tidak pulang ke rumah.

“Saya juga mahu bertemu keluarga teman lelakinya supaya perkara ini dapat diselesaikan secara baik dan Nur Aziela dapat dibawa pulang ke pangkuan keluarga,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, IPD Pontian menerusi hantaran Facebook memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Kuang berhubung penemuan semula Nur Aziela yang dilaporkan hilang menerusi laporan polis di Ayer Baloi.-KOSMO! ONLINE