"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas berkerusi roda maut didera, dipukul dengan getah paip

Sinar Harian
Seorang lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa menjadi mangsa dera dalam kejadian pada Rabu. - Foto tular/Sinar Harian
Seorang lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa menjadi mangsa dera dalam kejadian pada Rabu. - Foto tular/Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang lelaki dan dua wanita ditahan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki warga emas yang didakwa menjadi mangsa dera dalam kejadian pada Rabu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kesemua suspek berusia antara 28 hingga 34 tahun itu ditahan kerana dipercayai terlibat dalam kejadian terbabit.

"Pada 5 November jam 10 pagi, polis menerima laporan berhubung satu video tular di aplikasi TikTok yang memaparkan seorang lelaki berusia lingkungan 60-an didera oleh beberapa individu.

"Mangsa telah meninggal dunia pada petang 4 November dan sejurus menerima laporan, polis menjalankan siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Menerusi video tular, kelihatan seorang lelaki warga emas  yang duduk di kerusi roda dalam keadaan lemah dipaksa makan sebelum dipukul menggunakan getah paip oleh seorang lelaki.

Kejadian berkenaan turut disaksikan beberapa individu lain termasuk kanak-kanak.

Menurut Alzafny, polis turut merampas getah paip yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa, sebuah kerusi roda, telefon bimbit dan pakaian.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian terbabit sehingga boleh mengganggu siasatan polis.

"Polis memberi jaminan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.

-- Sinar Harian

Tiada ulasan: