"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kejutan PRU15 buat nama besar, kubu kuat

Hmetro

Kuala Lumpur: Elemen kejutan mewarnai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) selepas diumumkan secara rasmi dan tidak rasmi tengah malam tadi.

Setakat jam 12 tengah malam, belum ada parti politik yang mendapat majoriti mudah iaitu 112 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Selain itu, beberapa nama besar yang tewas di kubu kuat turut menarik perhatian.

Bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertanding atas tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang juga penyandang kerusi Langkawi tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Mohd Suhaimi Abdullah.

Selain itu, Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi Datuk Zuraida Kamaruddin juga tewas di Ampang.

Pemimpin veteran Barisan Nasional (BN) Tengku Razaleigh Hamzah yang menyandang kerusi Parlimen Gua Musang selama lebih 48 tahun pula, berdasarkan keputusan tidak rasmi pada 11 malam tewas kepada Mohd Azizi Abu Naim (Pas).

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid turut kecundang di Padang Terap manakala bekas Menteri Pendidikan yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik juga gagal mempertahankan kerusi Simpang Renggam.

Sementara Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan penguasaan di Pagoh selepas mendapat majoriti 10,007 undi selain keputusan tidak rasmi menunjukkan Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menang di Bagan Datuk.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memperoleh 22,440 undi (setakat 11 malam).

Dengan 70 peratus daripada lebih 20 juta pengundi keluar membuang undi yang disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat jam 4 petang, Malaysia bakal ditadbir kerajaan campuran seperti penggal lalu jika tiada parti dengan majoriti mudah selepas kiraan selesai.

Menurut penganalisis politik tempatan, perbincangan antara parti perlu dilaksana segera sebelum pemimpin utama menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah untuk perkenan membentuk kerajaan dan Perdana Menteri ke-10.

Prof Dr Ahmad Martadha Mohamad daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) menjangka tempoh seminggu diperlukan untuk menyelesaikan urusan pembentukan kerajaan serta mewujudkan suasana harmoni dalam negara.

"Tidak ada sebab mana-mana pakatan melengah-lengahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong kerana perlu ada seorang Perdana Menteri (PM) bagi mengetuai kerajaan.

"Jika tidak, suasana tidak harmoni boleh berlaku, apatah lagi kita tahu tiada parti yang mampu mendapat majoriti mudah iaitu sekurang-kurangnya 112 kerusi," katanya.

Katanya, PN pula mengekalkan dominasi dikuasai Pas seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, sekali gus penentu pola pengundian.

Sama ada negara kini boleh mencapai kestabilan politik selepas PRU-15, Penganalisa Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, ia terpulang kepada pendirian ahli politik sama ada mahu bertelagah atau mendukung Perlembagaan.

"Semua ahli politik kena berpegang kepada sembilan teras keselamatan dalam Dasar Keselamatan Negara yang menjamin kelangsungan Persekutuan Malaysia. Jika pegang asas ini, kita boleh mencapainya (kestabilan politik).

"Cukuplah bertelingkah, kini masanya mengiktiraf gagasan yang membentuk Malaysia hari ini, Rukun Negara dan utamanya Perlembagaan," katanya.

Beliau berkata, pembaharuan buat negara apabila hampir pasti menyaksikan seorang Timbalan Perdana Menteri daripada Sabah atau Sarawak.

PRU-15 ini mempertandingkan 220 kerusi Parlimen selepas P017 Padang Serai ditangguhkan kerana kematian calon Pakatan Harapan, M Karupaiya pada Rabu lalu, manakala P220 Baram digantung pengundian selepas 11 pusat mengundi tidak dapat dibuka berikutan cuaca yang tidak baik semalam.

SPR mengumumkan penangguhan pengundian Dewan Undangan Negeri (Dun) Tioman selepas calon PN, Md Yunus Ramli meninggal dunia di Hospital Rompin jam 3.30 pagi.

Seorang petugas SPR yang mempunyai rekod sakit jantung juga disahkan meninggal dunia ketika bertugas di sebuah pusat pengundian di Klang, Selangor.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan kematian itu dan memaklumkan proses pengundian di seluruh negara berjalan lancar mengambil kira pengundi Malaysia yang matang dalam menentu pentadbiran negara.

Tiada ulasan: