Mohamad Fadli
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan masing-masing empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan anggota polis trafik bagi membantu siasatan sindiket tonto dipercayai terlibat dalam rasuah melibatkan lori.
Ketua Pesuruhjaya, Azam Baki, berkata siasatan awal mendapati sebanyak RM12.4 juta transaksi dipercayai berkaitan rasuah dikesan membabitkan tonto, syarikat dan penguat kuasa terlibat dalam kegiatan itu.
“SPRM menahan empat pegawai JPJ, empat anggota polis trafik, dua pemilik syarikat, tujuh pekerja tonto dan seorang orang awam yang merupakan pemilik akaun (keldai akaun).
“Jumlah keseluruhan yang ditangkap ialah 18 orang dan kita telah membuka satu kertas siasatan bagi setiap seorang,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM.
Azam berkata, setakat ini empat saksi dirakam percakapan dan beberapa lagi akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan susulan operasi membanteras sindiket itu menerusi Op Middleman.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata SPRM membekukan 59 akaun individu dan 19 akaun syarikat membabitkan nilai keseluruhan RM4.69 juta.
“Jumlah pembekuan dan sitaan keseluruhan ialah RM7.6 juta melibatkan akaun individu termasuk tonto serta akaun syarikat berkaitan. Ini sebahagian proses pelucuthakan harta,” katanya.
Sepanjang operasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, SPRM turut menyita wang tunai pelbagai mata wang dan kenderaan mewah dipercayai digunakan sindiket.
Antara disita wang tunai RM326,625, SGD7,000, 26 juta rupiah, 25 kenderaan dianggarkan bernilai RM2.5 juta, barang kemas bernilai RM40,000, 26 telefon bimbit bernilai RM78,000 serta 31 unit walkie-talkie bernilai RM14,670 dipercayai digunakan untuk komunikasi bagi memudahkan aktiviti mereka.
Suspek dipercayai bertindak sebagai tonto disiasat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009, manakala pegawai kerajaan terlibat disiasat mengikut Seksyen 17(a) akta sama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan