"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ugut kakak dengan parang sebab tak kejut tidur, lelaki didenda RM2,500

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang lelaki didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mengugut mencederakan kakak kandung menggunakan parang gara-gara marah tidak kejut bangun tidur, Ahad lalu.

Majistret Arun Noval Dass menjatuhkan hukuman itu terhadap Zainul Ariffin Mohd Jaid, 32, selepas mengambil kira pengakuan dibuat, rayuan serta hujahan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menakutkan secara jenayah dengan mengacu sebilah parang terhadap kakak kandungnya berusia 44 tahun di sebuah rumah di Sri Merlong, Rengit, 1.40 tengah hari, 1 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, pada hari kejadian pengadu yang juga kakak tertuduh mendapati keadaan rumah berselerak selain tertuduh juga dilihat dalam keadaan marah.

Pengadu kemudiannya menegur tertuduh kerana bertindak sedemikian termasuk merosakkan barang dalam rumah.

Tertuduh berang kerana pengadu tidak mengejutkannya dari tidur kerana hari kejadian dia sepatutnya menghantar ibunya menjalani rawatan kencing manis di hospital.

Pengadu memberitahu dia sudah beberapa kali mengejutkan tertuduh namun tidak sedar.

Tertuduh kemudian mengambil parang dan berkata 'kamu jangan sampai aku kelam mata, kalau dah kelam, apa-apa aku boleh buat'.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada ulasan: