NOR SHAFAWATI YUP

PELAKON drama wanita dan suaminya yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan urusan penjualan tanah lot kurniaan dengan kerugian RM1.5 juta direman tiga hari bagi membantu siasatan. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP / KOSMO!
SEREMBAN – Seorang pelakon drama wanita dan suaminya yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan urusan penjualan tanah lot kurniaan dengan kerugian RM1.5 juta berjaya ditahan semalam selepas bersembunyi di sebuah madrasah tahfiz di Hulu Langat, Selangor.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim berkata, susulan tangkapan itu, suspek pelakon dan suaminya yang berusia 30 hingga 40 tahun itu telah direman tiga hari bagi membantu siasatan.
“Perintah reman terhadap suspek pelakon berusia 35 tahun dan suaminya, 41 tahun itu telah dikeluarkan oleh Majistret Nurul Azuin Mohd. Talhah di Mahkamah Majistret Khas Trafik di sini hari ini.
“Reman terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini hingga 5 Mac depan dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, pelakon itu dan suaminya yang memakai pakaian lokap warna ungu tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 9.15 pagi diiringi anggota polis.
“Nanti tulis apa yang betul ya, tak sahih cerita jangan tulis. Terima kasih,” pesannya kepada wartawan yang hadir membuat liputan di Kompleks Mahkamah Seremban di sini hari ini.
Kelmarin Kosmo! melaporkan polis telah menerima satu laporan berhubung kes penipuan dengan kerugian RM1.5 juta dipercayai melibatkan seorang pelakon wanita bersama suaminya.
Laporan dibuat seorang lelaki yang juga ahli perniagaan berusia 56 tahun pada 7 Januari lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan