"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

KJ mahu kembali ke Umno selepas Zahid umum buka pintu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri Khairy Jamaluddin menyatakan hasrat untuk kembali ke pangkuan Umno selepas Presiden Umno Zahid Hamidi hari ini berkata parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung.

Dalam reaksi terhadap pengumuman itu, bekas ketua Pemuda Umno tersebut berkata beliau sudah lama sebut ingin kembali kepada Umno.

“Saya lihat ini sebagai satu perkembangan yang positif dan satu peluang yang murni bagi saya secara peribadi,” kata bekas Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal itu.

“Jadi saya bolehlah mula draft surat itu (mohon menyertai Umno),” kata Khairy dalam sedutan audio siar Keluar Sekejap.

Terdahulu hari ini, Zahid berkata jemputan parti kepada ahli yang pernah dipecat atau digantung untuk menyertai semula Umno demi membuka lembaran baharu untuk memperkukuh kembali keluarga besar Umno.

Khairy, bekas menteri yang pernah memegang pelbagai portfolio, dipecat daripada parti pada Januari 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15 yang diadakan pada Disember 2022.

Beliau mengkritik Zahid secara terbuka menjelang pilihan raya tersebut, terutama selepas Barisan Nasional meletakkannya bertanding di kubu kuat Pakatan Harapan di Sungai Buloh.

Khairy tewas dalam pertandingan itu kepada R Ramanan daripada PKR dengan perbezaan 2,693 undi.

Sejak meninggalkan Umno, Khairy kekal aktif dalam wacana awam sebagai penyampai radio dan hos audio siar politik Keluar Sekejap.

Oktober lalu, media melaporkan bahawa beliau dijangka menyertai semula Umno selepas mendapat ‘restu’ daripada Zahid.

Tiada ulasan: