MOHD SHARKAWI LONDING

SHAMEEM BEGUM bersama lima lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru hari ini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!
JOHOR BAHRU – Seorang wanita berketurunan Pakistan dihadapkan ke mahkamah bersama lima lelaki secara berasingan hari ini atas pertuduhan pakatan jenayah melakukan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pasir Gudang, bulan lalu.
Tertuduh, Shameem Begum Abdul Said, 53, mengaku bersalah manakala Muhammat Rashid Ismail, 30, membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama merancang untuk melakukan kesalahan rompakan berkumpulan di tempat letak kereta di belakang sebuah bank di Pusat Perdagangan Pasir Gudang di sini pada pukul 12 tengah hari, 24 Februari lalu.
Pendakwaan itu dikemukan mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama Seksyen 395 kanun sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menetapkan 8 April ini sebagai sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan keputusan hukuman terhadap Shameem Begum.
Di hadapan Hakim Mohd Zamir Suhaimee pula, tiga tertuduh iaitu Emmirul Azim Samat, 30, Muhammad Syukri Mohamed Yusoff, 32, dan Abdul Rahman Abd Rahim, 32, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Emmirul Azim berdepan dua pertuduhan iaitu menyimpan harta curi berupa wang tunai RM50,000 milik lelaki Pakistan yang juga suami kepada Shameem Begum dan membuat persiapan melakukan rompakan berkumpulan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan dan Seksyen 399 kanun yang sama dengan masing-masing memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula didakwa secara bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan ke atas ahli perniagaan dengan membawa lari wang tunai RM500,000 mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman sama.
Mahkamah menetapkan 14 April sebagai sebutan semula kes dengan membenarkan jaminan sebanyak RM18,000 terhadap Emmirul Azim manakala Muhammad Syukri dan Abdul Rahman pula sebanyak RM8,000 setiap seorang dengan seorang penjamin warga tempatan.
Mereka juga perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada selain perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.
Sementara itu, seorang lagi tertuduh, Mohamad Taufiq Mohammad Jamil, 31, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi terhadap pertuduhan menyimpan senjata tiruan sepucuk pistol berwarna silver jenis Pietro Beretta mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata Api 1960.
Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di bilik pejabat di Taman Damansara Aliff, Tampoi di sini pada pukul 11.05 pagi, 27 Februari lalu.
Azureen Sahira membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Semalam, Kosmo! melaprokan, Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad mengadakan sidang akhbar berhubung kejayaan pihaknya memberkas lapan individu termasuk seorang wanita yang terlibat dalam rompakan berkumpulan bersenjata ke atas seorang ahli perniagaan Pakistan melibatkan wang tunai RM500,000.-KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan