NUR SHARIEZA ISMAIL

Keadaan kereta dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat di Jalan Besar Batu 12, berhampiran simpang masuk ke Kolej Legenda, Nilai petang tadi. Foto IHSAN PDRM
NILAI – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang dalam kejadian hujan lebat di Jalan Besar Batu 12, berhampiran simpang masuk ke Kolej Legenda, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.17 petang itu, mangsa, Muhammad Faris Chin, 28, mengalami luka di bahagian kaki kiri, manakala isterinya, Noor Adillah Sainuddin, 30, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, ketika kejadian pasangan suami isteri berkenaan menaiki Proton Saga sebelum sebatang pokok secara tiba-tiba tumbang lalu menghempap kenderaan dinaiki mereka, dipercayai akibat hujan lebat dan angin kencang.
“Difahamkan, kedua-dua mangsa berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam. Pemandu kemudian dibawa ke klinik berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut, ” katanya ketika dihubungi, hari ini. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan