Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my

KETUA Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad (kanan) menunjukkan suspek yang ditangkap pada sidang media mengenai kes samun RM500,000 di IPK Johor. FOTO Najmi Nor’azam
Johor Bahru: Lapan warga tempatan termasuk seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang lumpuh separuh badan serta seorang wanita ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan membabitkan wang tunai RM500,000.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian pada 1 tengah hari, 24 Februari lalu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kejadian samun berlaku di kawasan parkir kenderaan berhampiran dengan sebuah bank, di kawasan Pusat Perdagangan Pasir Gudang.
Menurutnya, ia berlaku pada jam 12 tengah hari apabila lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun mengeluarkan wang tunai berjumlah RM500,000 daripada sebuah bank dengan ditemani isterinya.
Katanya, ketika sedang menghampiri kenderaan yang diparkir berdekatan, mangsa didatangi dua suspek yang tidak dikenali termasuk salah seorang mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol sebelum merampas dan melarikan dua beg berisi wang tunai RM500,000.
"Wang milik warga Pakistan yang juga pembekal pekerja asing itu sepatutnya digunakannya bagi membayar gaji pekerja.
"Polis berjaya membuat tangkapan ke atas tujuh lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga tempatan berusia antara 23 sehingga 53 tahun di beberapa lokasi berasingan di Seri Alam dan Tampoi.
"Mereka ditahan dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas kejadian rompakan," katanya di sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata, suspek terdiri daripada ahli perniagaan berusia 30 tahun, dua lelaki penganggur berusia 23 dan 32 tahun serta dua lelaki yang bekerja sebagai mekanik berusia 29 dan 31 tahun.
Menurutnya, turut ditahan lelaki berusia 30 tahun yang berniaga makanan, seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga ahli perniagaan serta seorang wanita tempatan berketurunan Pakistan berusia 53 tahun yang juga ahli perniagaan.
"Ahli perniagaan berusia 30 tahun dan penganggur berusia 32 tahun dipercayai menjadi dalang utama kejadian.
"Lelaki OKU yang berkerusi roda serta lumpuh separuh badan pula berperanan sebagai penyalur maklumat dalaman kejadian itu.
"Hasil semakan mendapati dua daripada suspek memiliki rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.
"Kesemua suspek ditahan reman sehingga 10 Mac depan bagi membantu siasatan," katanya.
Beliau berkata, dalam kejadian itu, polis berjaya merampas sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, sebuah Perodua Myvi, dua keping nombor plat kereta kenderaan yang dipalsukan, dua beg berwarna kelabu, sebuah topi, pelitup muka warna hitam dan sepasang sarung tangan warna putih.
Menurutnya, turut dirampas 25 keping resit kemasukan wang, 800 keping wang tunai RM20, 700 keping wang tunai RM10, lapan bungkusan plastik lutsinar mengandungi wang kertas RM50.
Katanya, selain daripada itu, polis berjaya menyita wang tunai sebanyak RM65,830 daripada akaun syarikat milik salah seorang suspek yang sempat mendepositkan wang menerusi mesin bank iaitu selari dengan peruntukan Seksyen 116d Kanun Tatacara Jenayah.
"Jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas adalah sebanyak RM487,350 manakala bakinya sempat dibelanjakan oleh kumpulan suspek bagi tujuan peribadi termasuk untuk penginapan.
"Kertas siasatan dirujuk ke pejabat pengarah pendakwaan Johor dan menerima arahan pertuduhan.
"Enam suspek bakal dituduh esok termasuk di bawah Seksyen 399 Kanun Keseksaan, di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan, Seksyen 120b Kanun Keseksaan serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 iaitu memiliki senjata tiruan," katanya.
Beliau berkata, manakala dua suspek akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan dengan mengikat bon di bawah Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan