FMT Reporters
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata kejadian berlaku perselisihan faham antara lelaki itu dengan bekas isterinya.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang lelaki melakukan aksi bahaya dengan berpaut pada sebuah kereta di jalan raya sebelum terjatuh.
PETALING JAYA: Polis Johor menahan seorang lelaki yang dirakam dalam satu video tular melakukan aksi bahaya dengan berpaut pada pintu kereta yang dipandu bekas isterinya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka.
Ketua Polis Seri Alam, Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 11 saat itu tular di media sosial semalam dan siasatan mendapati ia berlaku di kawasan Seri Alam.
Katanya, hasil siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara lelaki terbabit dengan bekas isterinya bermula di sebuah pasar raya di Bandar Seri Alam.
“Kemudian lelaki terbabit bertindak memanjat atas bonet dan berpaut di hadapan kereta yang dipandu wanita itu secara perlahan sejauh kira-kira dua kilometer.
“Kemudian sekumpulan lelaki dipercayai rakan kepada lelaki itu juga bertindak menghalang kereta terbabit sebelum memeras ugut dengan merampas barangan milik wanita itu dan memecahkan cermin kereta,” katanya dalam kenyataan menurut Harian Metro.
Sohaimi berkata susulan itu polis menahan seorang lelaki berumur lingkungan 30an di Jalan Persisiran Seri Alam, Masai pada awal pagi tadi bagi membantu siasatan.
Katanya, lelaki itu tiada sebarang rekod lampau kesalahan jenayah tetapi hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ketamin.
Menurutnya, lelaki itu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Semalam, tular satu video menunjukkan seorang lelaki berpaut pada pintu sebuah kereta yang sedang bergerak di jalan raya sebelum terjatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan