Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu Selangor yakin rancangan bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin untuk menubuhkan parti baharu tidak akan menggugat parti itu.
Timbalan Ketua Bersatu Selangor Rafiq Abdullah berkata, parti itu kekal utuh selama ini walaupun telah mengharungi pelbagai krisis, termasuk penubuhan parti-parti lain, seperti Pejuang dan Muda, oleh bekas ahli-ahlinya.
“Hamzah nak teraju, tubuh parti dipersilakan, dan mana-mana ahli nak sertai beliau, terpulang,” katanya kepada FMT.
“Bersatu pernah lalui perkara ini (perpecahan) dulu … Pejuang yang diterajui bekas perdana menteri 22 tahun (Dr Mahathir Mohamad) pun kalah di Langkawi, jadi Hamzah nak buat parti baharu silakan, saya jangka nasibnya sama dengan Pejuang.”
Dalam pada itu, Rafiq menegaskan, Bersatu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti pimpinan Hamzah memandangkan beliau telah mengumumkan permusuhan dengan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, melainkan Ahli Parlimen Larut itu memohon maaf.
“Kalau beliau minta maaf, akui kesilapan, mungkin pemimpin Bersatu boleh pertimbang kerjasama, tetapi buat masa ini, kita tak akan kerjasama dengan parti Hamzah.
“Fokus Bersatu bersama dalam Perikatan Nasional (PN) kerana ia agenda lebih besar,” katanya.
Terdahulu dilaporkan Hamzah yang juga ketua pembangkang mengesahkan wujudnya perbincangan mengenai kemungkinan mengambil alih Parti Keluarga Malaysia.
Bagaimanapun, menurutnya, perkara tersebut masih pada peringkat awal dan belum dimuktamadkan.
Sementara itu, Ketua Bersatu Terengganu Razali Idris menjangkakan parti baharu Hamzah sedikit sebanyak akan memberi impak terhadap Bersatu, namun tidaklah sehingga melumpuhkan parti itu.
“Kalau nak kata kesannya besar, tidak, kesan kepada Bersatu (dengan penubuhan parti baharu Hamzah) tidak sehebat penubuhan Pejuang dan Muda (dahulu),” kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu.
Apabila ditanya mengenai kesediaan Bersatu untuk bekerjasama dengan parti pimpinan Hamzah dalam PN, Razali menyerahkan kepada presiden komponen gabungan untuk memutuskannya.
Katanya, jika semua presiden parti dalam PN sepakat menerima parti baharu pimpinan Hamzah, tiada masalah untuk kerjasama sekiranya ia dibina atas dasar keikhlasan.
“Dalam politik ini, musuh tak selamanya musuh, rakan tak selamanya rakan, akhirnya penyatuan Melayu perlu diutamakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan