Hidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my

ANGGOTA tentera, Muhammad Rusyairi Jalani, 25, yang menjalani pembedahan di kepala di HUSM, Kubang Kerian pada 2023 kerana didakwa dipukul empat anggota tentera. FOTO ihsan peguam
Kota Bharu: Seorang anggota tentera memfailkan saman terhadap lapan defendan iaitu empat anggota tentera, pegawai memerintah 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia, Tentera Darat Malaysia dan kerajaan Malaysia bagi memohon ganti rugi atas kecederaan parah yang dialaminya.
Anggota berkenaan selaku plaintif, Muhammad Rusyairi Jalani, 25, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kelmarin menerusi firman guaman Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz.
Saman berkenaan dikemukakan dengan menamakan Nor Mohd Rosidi Isa, 31; Mohd Fadzli Samsuri, 40; Mohamad Faaik Bakar, 34; Noor Mustaqim Ahmad, 34; Pegawai Memerintah 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), Leftenan Kolonel Fazul Salim Anor Salim; Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia; Tentera Darat Malaysia dan kerajaan Malaysia.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan Muhammad Rusyairi menuntut bagi ganti rugi am di atas kecederaan, teladan dan khas.
Peguam bela plaintif, Shaharuddin Mohamed berkata, anak guamnya turut memohon mahkamah mengenakan faedah lima peratus setahun ke atas jumlah dari tarikh kejadian pada 14 Mac 2023 hingga penyelesaian penuh, kos guaman dan lain-lain relif atau perintah.
Katanya, ketika kejadian, plaintif adalah anggota tentera berpangkat Prebet, manakala defendan pertama pula Staf Sarjan dan defendan kedua hingga keempat berpangkat Koperal berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia di Batalion ke-16, RAMD Kem Desa Pahlawan di sini.
Defendan pertama hingga keempat didakwa termasuk memarahi, menumbuk sebelah kiri perut plaintif sehingga lebam, memukul bahagian kepala dengan topi tempur tentera dan mengetuk bahagian kepala plaintif dengan batang penyapu kerana tidak berpuas hati dengan prestasi kawad plaintif antara 4 petang, 13 Mac 2023 hingga 8.30 malam, pada 15 Mac 2023.
Plaintif berasa sangat sakit dan muntah beberapa kali sebelum mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) di Kem Desa Pahlawan pada 17 Mac 2023 sebelum ke Hospital Machang pada 20 Mac 2023 kerana sudah tidak tahan sakit di bahagian kepala.
Plaintif dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut dan tidak sedarkan diri sebelum menjalani pembedahan di kepala kira-kira 12.30 tengah malam dan selesai 4 pagi, pada 21 Mac 2023.
Plaintif dimasukkan ke wad selama lapan hari dan diberi cuti sakit sehingga 16 Oktober 2023 dan dibawa balik oleh keluarga ke Melaka pada 28 Mac 2023.
Plaintif dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Melaka termasuk rawatan psikiatri dan Hospital Angkatan Tentera, Kem Terendak, Melaka serta temu janji di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur sehingga sekarang.
Sepanjang rawatan plaintif tidak mampu untuk melaksanakan tugas sebagai seorang anggota tentera dan perlu dijaga oleh keluarga kerana sering jatuh di dalam rumah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan