Bernama

Tiga lelaki dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di Shah Alam hari ini selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan mencuri sebuah tabung masjid di Seksyen 7, Shah Alam pada 22 Feb lepas.
K. Tineshuaran, 26, R. Nishanraj, 22, dan S. R. Danesh, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.
Mahkamah memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara bermula pada hari ini dan mereka turut didenda RM4,000 setiap seorang dengan tambahan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda yang ditetapkan.
Kesemua mereka didakwa bersama-sama mencuri sebuah tabung besi kepunyaan Masjid Seksyen 7, Shah Alam tanpa izin yang bernilai RM2,000 pada 4 pagi, 22 Feb lepas.
Kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan denda untuk kali pertama, manakala kesalahan kedua boleh dipenjara dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Dalam masa sama, seorang remaja lelaki 17 tahun turut mengaku salah atas kesalahan sama dalam satu prosiding tertutup di mahkamah berkenaan.
Bagaimanapun, Muhammad Syafiq memerintahkan remaja itu diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk serahan laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kesemua tertuduh diwakili peguam Swinder Singh dan dibantu Ashrul Haikal, manakala Timbalan Pendakwa Raya Muaz Khawarizmi Azfar bagi pihak pendakwaan.
Ashrul membuat permohonan penangguhan hukuman bagi ketiga-tiga pesalah berikutan kesemua tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan pertuduhan itu merupakan kesalahan pertama.
Bagaimanapun, Muhammad Syafiq menolak permohonan berkenaan kerana tidak mempunyai keperluan khas.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan