Suraya Ali

Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. FOTO FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Kuala Lumpur: Parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera hari ini pertama kali duduk semeja berbincang serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum.
Pertemuan sempena Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera itu berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Selain UMNO, tujuh lagi parti politik utama terbabit pertemuan itu ialah PAS, PKR, AMANAH, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), BERJASA, KIMMA, dan Parti Ikatan Bangsa (IKATAN).
Pertemuan dianggap bersejarah itu dikongsi Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki melalui Facebook, hari ini.
"Saya diamanahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.
"Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang membabitkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini," katanya.

Peserta Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera yang menghimpunkan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini. FOTO FB Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali 'grand collaboration' atau 'kolaborasi agung', tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.
Beliau menyatakan hasrat itu ketika membangkitkan satu usul yang dikemukakannya sendiri ketika sesi penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang kemudian dipersetujui perwakilan.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata dalam sistem demokrasi, parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang dan ia adalah lumrah dalam politik.
Namun, katanya apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian.
"Semua sepakat tadi untuk ditubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform rundingan.
"Platform rundingan atau wahana itu akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan