"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut didakwa jatuh pokok rupanya terkena tembakan

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Kota Belud: Lelaki yang pada awalnya dipercayai maut akibat terjatuh dari pokok ketika memburu di Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, di sini, semalam bagaimanapun disyaki terkena tembakan.

Dalam kejadian 7.17 malam itu, mangsa berusia 44 tahun ditemui terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki akibat kesan tembakan.

"Dia sebelum itu keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal hari kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian," katanya ketika dihubungi, malam ini.

Menurutnya, polis sudah menahan lelaki yang memburu bersama mangsa untuk siasatan lanjut.

"Dalam temu bual awal, suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit," katanya yang memaklumkan selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan berkaitan dirampas untuk tindakan lanjut.

Katanya, permohonan reman sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tiada ulasan: