Agensi

DUA pesawat F/A-18 Super Hornet dilancarkan dari dek penerbangan kapal induk USS Abraham Lincoln untuk menyokong serangan Operasi Epic Fury ke atas Iran dari lokasi yang tidak didedahkan 3 Mac 2026. FOTO Tentera Laut AS / Edaran melalui REUTERS
Tehran: Peluru berpandu yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel mengenai dua sekolah di bandar Parand, barat daya Tehran, menurut agensi berita separa rasmi Iran, Fars.
Agensi itu berkongsi gambar kerosakan dan serpihan di dalam kelas dan melaporkan beberapa unit kediaman berhampiran turut mengalami kerosakan.
Serangan itu berlaku enam hari selepas serangan ke atas sebuah sekolah perempuan di bandar selatan Minab, di mana ratusan murid dan kakitangan terbunuh, ketika AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mencetuskan peperangan di seluruh Timur Tengah.
Pihak berkuasa Iran melaporkan 165 orang termasuk kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun terkorban dalam serangan itu, dan sekurang-kurangnya 95 orang lagi cedera.
Pihak berkuasa Israel dan AS - selepas tersebar gambar kemusnahan berkenaan di media sosial - mendakwa tidak menyedari serangan mengenai sebuah sekolah.
Beberapa sumber Israel mendakwa lokasi itu adalah sebahagian daripada pangkalan Kor Polis Pengawal Revolusi Islam namun analisis oleh unit penyiasatan digital Al-Jazeera mendapati bahawa sekolah itu berasingan daripada tapak tentera bersebelahan sejak 10 tahun lalu.
Siasatan itu juga menunjukkan bahawa corak serangan menimbulkan persoalan asas mengenai ketepatan maklumat risikan yang dijadikan asas kepada serangan berkenaan.
Penganalisis Kanan International Crisis Group, Amjad Iraqi memberitahu Al-Jazeera bahawa Israel menyerang keseluruhan sistem termasuk sekolah, infrastruktur awam dan institusi negara.
"Apa yang kita lihat di Iran sebenarnya adalah kesinambungan dan lanjutan daripada apa yang Israel cuba lakukan dalam dua setengah tahun terakhir di Gaza," katanya.
Lebih 3,600 tempat awam mengalami kerosakan dalam serangan yang dikaitkan dengan AS dan Israel, menurut angka dikeluarkan oleh Persatuan Bulan Sabit Merah Iran yang dipetik oleh kerajaan Iran di platform X.
Turut musnah, 3,090 rumah, 528 pusat komersial, 13 fasiliti perubatan dan sembilan pusat agensi itu.
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan