"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Hujan’ misil Iran gegar Tel Aviv

KOSMO!
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca daripada serpihan roket Iran yang dipintas di kawasan perumahan berhampiran Tel Aviv kelmarin. - AFP
TEL AVIV – Serangan peluru berpandu terbaru Iran mencetuskan letupan di serata bandar raya Tel Aviv ketika pasukan bomba berusaha memadamkan api di sebuah bangunan kediaman berhampiran pusat komersial Israel semalam.

Serangan lewat kelmarin itu berlaku selepas Israel memperluaskan kempen ketenteraan terhadap kumpulan Hezbollah yang disokong Tehran.

Israel sebelum ini berikrar akan membalas dendam terhadap kumpulan pejuang Palestin itu kerana menyertai konflik susulan pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, Sabtu lalu.

Penyiar rasmi Iran melaporkan bahawa Tehran telah melan­carkan peluru berpandu yang menyasarkan kawasan di tengah Tel Aviv selepas tentera Israel memaklumkan ia sedang berusaha memintas tembakan Iran yang dilancarkan lewat kelmarin.

Wartawan AFP di Tel Aviv melaporkan dua gelombang letupan kedengaran hampir serentak di seluruh bandar tersebut.

Jejak misil dilihat menerangi ruang udara di Netanya, sebuah bandar di utara Tel Aviv yang terletak di pesisir Laut Mediterranean.

Perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) memaklumkan bahawa pasukannya telah memeriksa beberapa lokasi yang terkena impak, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Polis Israel menyatakan, mereka sedang menguruskankan beberapa lokasi di tengah Israel yang terkena peluru berpandu Iran sambil menambah, terdapat kerosakan pada bangunan tetapi tiada kecederaan.

Sebuah peluru berpandu dilaporkan mengenai bangunan di pinggir Tel Aviv sekali gus memaksa penduduk untuk berpindah.

Di sebuah kawasan perumahan berhampiran pusat ekonomi Israel itu, anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran yang berpunca daripada serpihan selepas roket Iran dipintas.

Komando Barisan Hadapan Israel mengeluarkan beberapa amaran serangan roket awal pagi semalam kepada komuniti berhampiran sempadan Lubnan.

Sementara itu, konflik di Asia Barat yang dicetuskan oleh serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran telah merebak ke Cyprus, Sri Lanka, Turkiye, Azerbaijan dan berisiko menarik lebih banyak negara ke dalam perang tersebut.

“Konflik telah berkembang menjadi kempen intensiti tinggi, pelbagai domain tanpa sebarang tanda ia akan berakhir dalam masa terdekat,” kata Pusat Soufan yang berpangkalan di AS.

Duta Iran ke Arab Saudi, Alireza Enayati berkata, Tehran menghargai komitmen Arab Saudi yang tidak membenarkan ruang udara atau wilayahnya digunakan semasa perang berterusan dengan AS-Israel.

“Kami menghargai apa yang kami dengar berulang kali daripada Arab Saudi bahawa ia tidak membenarkan ruang udara, perairan atau wilayahnya digunakan untuk menentang Republik Islam Iran,” kata Enayati kepada AFP.

Beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengenai negaranya menyerang kedutaan AS di Riyadh pada minggu ini selepas pegawai Arab Saudi mendakwa Iran menyasarkan kompleks kedutaan berkenaan dengan dron.

Terbaru semalam, serangan dahsyat dilaporkan di Tehran selepas Israel mengumumkan ia menyasarkan infrastruktur rejim dalam fasa baharu perang yang dilancarkan bersama AS ke atas Iran.

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth mengumumkan bahawa kuasa tembakan ke atas Iran dan Tehran akan meningkat secara ketara.

Presiden Donald Trump berkata, beliau tidak mempertimbangkan untuk mengerahkan tentera darat AS ke atas Iran buat masa ini.

Trump sebelum ini menyatakan bahawa beliau ‘perlu terlibat’ dalam pemilihan pemimpin baharu Iran. – AFP

Tiada ulasan: