Agensi
Chhattisgarh, India: Teguran mengenai tabiat minumnya membawa kepada tragedi apabila seorang lelaki berusia 25 tahun menetak bapanya hingga maut dengan kapak sebelum mencampakkan mayat ke dalam tangki air.
Selepas pembunuhan itu, lelaki berkenaan dengan tenang keluar makan beriyani sebelum pulang ke rumah untuk tidur.
Kejadian ngeri itu berlaku pada malam Isnin di Ambikapur, daerah Surguja, negeri Chhattisgarh, India. Suspek dikenal pasti sebagai Prabhat Kerketta atau Leda dan telah ditahan.
Dalam soal siasat, dia mendakwa pembunuhan itu berlaku "secara tidak sengaja" dalam keadaan marah.
Menurut pihak polis, bapa suspek, Paras Kerketta, 50, tinggal bersendirian di rumahnya di Baherapara, manakala lelaki berusia 25 tahun itu menyewa penginapan berdekatan.
Kira-kira jam 11 malam Isnin, Prabhat pergi ke rumah bapanya dalam keadaan mabuk.
Polis berkata Paras menegur tabiat minum anaknya, yang kemudian mencetuskan pertengkaran.
Dalam keadaan marah, Prabhat mengambil kapak yang berada di dalam rumah dan menetak bapanya beberapa kali di kepala, menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.
Selepas memastikan bapanya meninggal dunia, Prabhat didakwa mengheret mayat itu dan mencampakkannya ke dalam sebuah tangki air kecil berhampiran rumah.
Dia kemudian berjalan ke kedai berdekatan, memesan beriyani, memakannya, sebelum pulang ke rumah untuk tidur.
Jiran yang terdengar pertengkaran itu memaklumkan kepada polis pada Selasa selepas tidak melihat Paras keluar rumah pada waktu pagi.
Sepasukan polis tiba di rumah berkenaan dan menemui mayat mangsa di dalam tangki air. Pasukan forensik turut dipanggil untuk memeriksa lokasi kejadian.
Seorang jiran, Rakesh Pradhan, berkata bapa dan anak itu kerap bertengkar berhubung ketagihan alkohol Prabhat.
Jenayah itu berlaku dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Manipur, dan ketua balai, CP Tiwari, berkata: "Tertuduh menyerang bapanya dengan objek tajam sehingga menyebabkan kecederaan parah di kepala. Mayat dibuang ke dalam tangki air. Tertuduh telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan," katanya.
Pembunuhan itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang lelaki berusia 21 tahun membunuh bapanya, mengerat mayat dan membuang bahagian badan dalam sebuah dram di Lucknow.
Akshat Pratap Singh juga, secara kebetulan, mendakwa dia membunuh bapanya "secara tidak sengaja".
-Hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan