Kumaran Rajamoney

TELUK INTAN: Dua lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan berasingan melindungi dan mengangkut migran warga Indonesia yang diseludup, bulan lalu.
Mustajab, 44, didakwa melindungi 10 migran warga Indonesia yang diseludup di sebuah kebun kelapa sawit di Sungai Payung, Selekoh, dalam daerah Bagan Datuk, kira-kira jam 6.15 petang pada 13 Februari lalu.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Khairul Anwar, 31, pula didakwa sebagai operator sebuah kereta Honda City yang mengangkut empat migran warga Indonesia yang diseludup di lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 26J akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM250,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Hakim Norhamizah Shaifudin kemudian menetapkan 5 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan